fb fb fb fb fb

City Nature Challenge 2024 rekod 832 spesies biodiversiti di Lembah Klang

Peserta sedang merekodkan pemerhatian/Foto Universiti Malaya

KUALA LUMPUR, 6 Jun -Sebanyak 832 jumlah spesies tumbuhan dan haiwan daripada lebih 2,000 pemerhatian yang dijalankan sekitar Lembah Klang berjaya direkodkan menerusi program “City Nature Challenge 2024” peringkat Lembah Klang.

Program anjuran Pusat Pembangunan Lestari Universiti Malaya (UMSDC) dan SekitarKita itu melibatkan lebih 50 orang peserta berdaftar.

Menurut Affan Nasaruddin, Pegawai Penyelidik UMSDC, para peserta perlu merekodkan sebanyak mungkin pemerhatian haiwan dan tumbuhan menggunakan aplikasi iNaturalist dalam masa empat hari program berlangsung.

Program tahunan peringkat global itu dianjurkan sejak 2018 di pelbagai lokasi bandar di seluruh dunia, menggunakan pendekatan sains masyarakat.

Menggunakan aplikasi iNaturalist yang boleh dimuat turun secara percuma, pengguna boleh merekod dan mengenali spesies flora dan fauna yang ada di persekitaran kediaman bandar mereka.

Setiap tahun, akan diadakan pertandingan dalam kalangan pengguna aplikasi tersebut untuk menentukan bandar yang berjaya membuat pemerhatian terbanyak, pencarian spesies terbanyak, dan penglibatan peserta paling ramai.

“Untuk edisi 2024 ini, hampir 700 bandar dari 51 negara dari seluruh dunia telah menyertai cabaran ini,” kata Affan menerusi kenyataan kepada RTM.

Mengulas lanjut, Affan berkata Malaysia sememangnya kaya dengan kepelbagaian biodiversiti. Berdasarkan maklumat Malaysia Biodiversity Information System (MyBIS), terdapat lebih kurang 15,000 spesies tumbuhan vaskular, 307 spesies mamalia, 567 spesies reptilia, 785 spesies burung, dan 449 spesies ikan air tawar di Malaysia.

“Sebenarnya untuk mereka yang tinggal di bandar, tidak perlu untuk pergi jauh dari kediaman mereka untuk menikmati keindahan alam semula jadi, dan mula mendekati spesies flora dan fauna tempatan,” jelas Affan.

Pertambahan jumlah penduduk antara penyebab utama kehilangan biodiversiti di seluruh dunia. Hal ini dibuktikan dengan peningkatan kehilangan habitat, perubahan guna tanah, eksploitasi sumber alam serta pencemaran yang berlaku, seiring dengan peningkatan jumlah penduduk.

Ia kerana semakin ramai penduduk, semakin tinggi permintaan sumber, dan semakin banyak habitat semula jadi digunakan untuk pertanian, perlombongan, perindustrian dan perbandaran.

Penduduk Malaysia telah meningkat sebanyak empat juta orang sejak tahun 2010, dan dijangka mencecah angka 38 juta menjelang tahun 2030, seterusnya 41.5 juta menjelang 2040.

Peratusan penduduk di kawasan bandar di Malaysia pula dijangka akan meningkat kepada 84 peratus pada tahun 2040. Ini secara tidak langsung akan menyebabkan kepadatan dan memberi kesan kepada kualiti kehidupan penduduk dan alam sekitar di kawasan setempat.

Program ‘City Nature Challenge: Lembah Klang’ dianjurkan bersama Persatuan Pustakawan Malaysia (PPM). Menurut Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Promosi dan ICT, PPM Nurfarawahidah Badruesham cabaran ini merupakan peluang kepada masyarakat untuk menerokai sebuah program sains masyarakat secara lebih praktikal.

“Perpustakaan berperanan sebagai penghubung dan penyokong kepada masyarakat bagi mendalami kepelbagaian biodiversiti di persekitaran mereka. Keterlibatan perpustakaan dalam cabaran ini membuka mata dan minda masyarakat bahawa penyebaran ilmu pengetahuan bukan sahaja melalui buku-buku di perpustakaan, malah lebih daripada itu,” katanya.

Pada program sama turut dianjurkan pertandingan rekod pemerhatian paling banyak. Tiga orang pemenang dipilih pada tahun ini termasuk Shahril Efzueni Rozali, salah seorang pemenang City Nature Challenge.

“Saya telah menyertai cabaran ini sejak 2018 dan sangat teruja dengan aplikasi iNaturalist kerana saya sememangnya seorang yang suka meneroka keindahan alam semula jadi.

“Dengan menyertai cabaran ini, saya dapat mengumpul maklumat dan mengenal pasti taburan serta populasi spesies hidupan liar yang terdapat di sekitar Lembah Klang. Secara tidak langsung aktiviti ini dapat menambah pengetahuan saya tentang spesies flora dan fauna yang ada di sekitar bandar,” kata Shahril.

Mengulas lanjut, Affan menyatakan bahawa cabaran ini secara tidak langsung membantu penyelidik, pihak berkuasa dan penggubal polisi untuk lebih memahami kepelbagaian biodiversiti di kawasan bandar.

“Setiap rekod dokumentasi yang telah dilakukan oleh peserta adalah amat berguna. Rekod ini kemudiannya dijadikan data bagi penyelidikan, serta turut digunakan dalam usaha memulihara biodiversiti di bandar yang semakin hilang.

“Penglibatan masyarakat dalam sains perlu diperluaskan di Malaysia bagi menggalakkan pemahaman dan seterusnya meningkatkan kemahuan untuk melakukan perubahan demi melestari alam sekitar dan biodiversiti yang ada,” kata Affan,

MAT YUNUS BIN SABRI