KUALA LUMPUR, 6 Jun- Malaysia tetap berpendirian untuk tetap mempertahan keamanan serta mengekalkan hubungan baik dengan Amerika Syarikat (AS) dan China.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Malaysia juga tidak memihak kepada mana-mana pihak dan menolak sebarang krisis keganasan.
Anwar berkata demikian menerusi ucapannya ketika hadir merasmikan Persidangan Meja Bulat Asia Pasifik ke-37 di ibu negara.
Persidangan yang dianjurkan oleh badan pemikir Malaysia, Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS), yang berlangsung selama tiga hari itu turut dihadiri lebih 400 perwakilan dari rantau Asia Pasifik.
Bertema 'Krisis Dalam Peralihan Masa', persidangan itu berfungsi sebagai platform untuk menangani isu-isu yang mempengaruhi Asia Pasifik.
Turut hadir Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Pengerusi ISIS, Datuk Prof Dr Mohd Faiz Abdullah.