fb fb fb fb fb

4,000 liter diesel bersubsidi diseleweng, berjaya dirampas KPDN Terengganu

Foto KPDN Terengganu

SETIU, 6 Jun- Sejumlah 4,000 liter minyak diesel bersubsidi yang dianggarkan bernilai RM12,000 berjaya dirampas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Besut, Terengganu.

Rampasan dilakukan dalam satu serbuan di sebuah tapak projek pembinaan di Kampung Langkap, Setiu menerusi Ops Tiris 3.0 kira-kira pukul 11.00 pagi, pada Rabu.

Pengarah KPDN Terengganu, Saharuddin Mohd Kia dalam kenyataan berkata serbuan dijalankan hasil risikan yang telah dilakukan selama dua minggu.

Hasil pemeriksaan menemui sebuah tangki simpanan berisi minyak diesel dipercayai kegunaan jentera berat.

Pemeriksaan lanjut mendapati pihak syarikat pembinaan tersebut gagal mengemukakan sebarang permit atau surat kebenaran daripada pengawal bekalan untuk menyimpan minyak diesel di lokasi kejadian.

Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

Jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak lebih RM1 juta manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM3 juta bagi orang perseorangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Bagi syarikat pula, sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM2 juta manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5 juta.

Masyarakat disaran menjadi mata dan telinga kepada pihak berkuasa membantu menyalurkan maklumat terutamanya berhubung aktiviti penyelewengan barang kawalan bersubsidi bagi memastikan aktiviti haram itu dapat dibanteras sehingga ke akar umbi.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM