fb fb fb fb fb

Program Miracle Baby kongsi kepakaran pembedahan jantung kanak-kanak - KKM

(Foto Ihsan KKM)

KUALA LUMPUR, 7 Disember- Seramai 5,000 orang bayi dilahirkan dengan penyakit jantung berlubang dan kongenital di Malaysia, dan kebanyakannya memerlukan rawatan pembedahan jantung yang memerlukan kepakaran yang kompleks.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Datuk Seri Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan media, bagi mengatasi masalah kekurangan kepakaran dalam pembedahan jantung berlubang dan kongenital ini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengambil inisiatif untuk menjalankan Program Miracle Baby yang dilancarkan secara rasminya di Hospital Pulau Pinang (HPP) pada hari ini, 7 Disember 2022.

"KKM mengalu-alukan kerjasama dengan pihak UTAR dan SSSSH dalam Program Miracle Baby ini untuk jangka masa panjang dengan menjemput pakar-pakar dari SSSSH India ke Malaysia secara berkala dengan objektif berkongsi kepakaran pembedahan jantung dengan menjalankan pembedahan untuk 15 hingga 20 orang kanak-kanak bagi setiap lawatan.


(Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Datuk Seri Dr Noor Hisham Abdullah)

"KKM, UTAR dan SSSSH yakin bahawa program ini akan berjaya membantu usaha berterusan KKM untuk menambahbaik perkhidmatan kesihatan terutamanya dalam pembedahan jantung kanak-kanak demi kesejahteraan rakyat.

Program Miracle Baby ini merupakan hasil kerjasama strategik di antara KKM, Universiti Tuanku Abdul Rahman (UTAR) dan Hospital Sri Sathya Sai Sanjeevani (SSSSH), India bagi membolehkan perkhidmatan pembedahan jantung kanak-kanak kompleks dijalankan di HPP.

Dr Noor Hisham Abdullah juga berkata, ianya merupakan idea yang diusulkan oleh Canselor UTAR, Tun Dr. Ling Liong Sik setelah mengadakan lawatan ke SSSSH pada tahun 2016, dan disusuli dengan lawatan oleh pakar kardiologi pediatrik KKM ke SSSSH di Naya Raipur pada tahun 2017.

"Kerjasama strategik KKM, UTAR dan SSSSH India ini bertujuan untuk menyediakan perkhidmatan pembedahan jantung kompleks kanak-kanak yang berkualiti dan akan diteruskan sebagai satu inisiatif bantuan kemanusiaan, keprihatinan dan kebajikan untuk para pesakit dan ibu bapa.

"Melalui program ini, pakar-pakar jantung di HPP akan bekerjasama dengan pasukan pembedahan dari SSSSH India untuk melakukan pembedahan jantung, manakala pihak UTAR pula bertindak untuk menyelaraskan urusan logistik dengan bantuan dan sokongan dari orang awam," katanya.

Program rintis ini telah bermula pada 28hb November 2022 dan sedang berlangsung selama dua minggu.

Sehingga hari ini, seramai 12 orang pesakit termasuk tiga orang pesakit dari Sabah juga telah dihantar ke HPP untuk menjalani rawatan.


(Pengarah Kesihatan Negeri Pulau Pinang Datuk Dr Ma'arof Sudin ketika Majlis Perasmian Program Miracle Baby di Hospital Pulau Pinang hari ini)


Program ini dijayakan dengan pasukan Pakar Pembedahan Kardiotorasik HPP diketuai oleh Dato’ Dr. Basheer Ahamed bin Abdul Kareem, dan dibantu oleh Dr. Abu Yamin Kamis (Pakar Pembedahan Kardiotorasik), Dr. Mohamad Hanafi Mohd (Pakar Anestesia Jantung), dan Dr. Mohammad Tamim bin Jamil (Pakar Jantung Pediatrik). Manakala, pasukan dari SSSSH pula diketuai oleh Pakar Bedah Jantung, Dr. Krishna Manohar, dan Pakar Anestesia Kardiak Pediatrik, Dr. Subramanian Chellappan.

Katanya lagi, sebelum ini KKM telah menaja pesakit-pesakit untuk menjalani rawatan pembedahan di luar negara dengan bekerjasama badan-badan bukan kerajaan (NGO) dari dalam dan luar negara untuk menangani masalah kekangan slot rawatan pembedahan di Malaysia.

"Dalam memastikan kelestarian perkhidmatan pembedahan jantung kanak-kanak di negara ini, perbincangan lanjut di antara pakar-pakar dan pihak pengurusan KKM, SSSSH dan UTAR bersetuju untuk meneruskan misi kemanusiaan bagi membantu kanak-kanak kurang bernasib baik dan memerlukan rawatan pembedahan jantung melalui program Miracle Baby.

"Program ini dijangka akan memberi manfaat kepada kanak-kanak tempatan dan ibu bapa dengan kos minimum serta membolehkan pemindahan pengetahuan, kepakaran, kemahiran serta latihan kepada pakar-pakar dan paramedik di KKM.

"Aktiviti ini juga diharapkan agar dapat memangkin hasrat KKM untuk memulakan perkhidmatan pembedahan jantung kanak-kanak dalam skala lebih besar di Hospital Seberang Jaya yang dijangka siap lewat 2023," katanya dalam kenyataan hari ini.

Di samping itu, program ini juga membuktikan komitmen dan visi KKM untuk memperkasakan perkhidmatan pembedahan jantung kanak-kanak dan memastikan aktiviti latihan kepakaran bedah tempatan terutamanya melibatkan jantung kanak-kanak berjalan dengan lancar.





Media Baharu