BANGI, 12 Oktober -Program memasyarakatkan koperasi di pelbagai lapangan menterjemah peranan penting koperasi dalam membantu meningkatkan sosioekonomi rakyat.
Menteri Pembangunan, Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick berkata pada masa sama, koperasi juga berorientasikan matlamat untuk meningkatkan kesedaran, kefahaman serta penghayatan berkoperasi dalam kalangan masyarakat.
Beliau berkata, program tersebut berjaya meningkatkan penyertaan dalam sektor berkenaan dari semasa ke semasa.
"Setakat Disember 2022, sebanyak 15,315 koperasi telah didaftarkan dengan nilai perolehan koperasi sebanyak RM45.5 bilion pada tahun lalu.
"Dalam DaKom 2023, kita menyasarkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) supaya perolehan koperasi ini menjelang tahun 2025 kepada jumlah RM60 bilion dan menjelang tahun 2030 kita menyasarkan untuk mencapai RM100 bilion," katanya
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran Dasar Koperasi Malaysia 2030 ( DaKoM 2030), di sini.
Dalam pada itu, Ewon turut memohon supaya pihak gerakan koperasi dikawal selia serta diberi kelonggaran dalam konteks perundangan di peringkat nasional yang membataskan penyertaan koperasi dalam aktiviti ekonomi berprospek tinggi.
Ini bagi membantu dan mengiktiraf gerakan itu sebagai entiti perniagaan yang beroperasi seperti entiti perniagaan lain.