PUTRAJAYA,12 Oktober - Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam peringkat akhir melantik ahli Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC).
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata ahli IPCC termasuk seorang individu yang akan mengetuai suruhanjaya tersebut akan diketahui dalam masa terdekat.
"Jadi kita akan ambil masa beberapa bulan ini untuk menjelmakan dia sebagai satu entiti, organisasinya sudah ada, namun orang yang mengisi yang namanya anggota suruhanjaya itu dalam proses pemilihan. Kita akan umumkan serentak nanti siapa ketua dan siapa ahli suruhanjaya," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan dan Sambutan Hari Inovasi KDN 2023, di sini.
Tambah Saifuddin, suruhanjaya tersebut telah mula berkuatkuasa bermula Julai lalu.
IPCC memberi kuasa penubuhan suatu badan untuk melaksanakan siasatan.
Manakala tindakan dan hukuman tatatertib masih dikekalkan dengan Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) mengikut peruntukan sedia ada di dalam Perkara 140 Perlembagaan Persekutuan.