KUALA LUMPUR, 28 Ogos- Program MASKOP terima 1,165 permohonan koperasiKementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menerima sebanyak 1,165 permohonan bagi pendaftaran koperasi untuk tahun ini setakat Julai lepas dengan 524 daripadanya telah diproses, berjaya didaftarkan serta diberikan sijil.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick dalam satu kenyataan berkata, perkara itu susulan Program Membudayakan Masyarakat Berkoperasi (MASKOP) berjaya meningkatkan jumlah penubuhan koperasi baharu.
Pelaksanaannya dilihat dapat memupuk budaya berkoperasi dalam kalangan masyarakat di negara ini.
"Pada tahun lepas, sebanyak 1,001 koperasi baharu telah didaftar, yang disifatkan sebagai satu rekod bagi pendaftaran koperasi.
"Program yang memupuk pembudayaan berkoperasi dalam kalangan masyarakat di seluruh negara itu merekodkan Sabah muncul sebagai negeri terbanyak mendaftar koperasi baharu tahun ini iaitu 147 diikuti Selangor (80)," katanya.
Dalam pada itu beliau turut menyeru warga KUSKOP supaya mewujudkan satu sinergi dan kerjasama berpasukan dengan semua agensi bawah kementerian itu.
KUSKOP turut menyediakan pelbagai dasar antaranya Dasar Koperasi Malaysia (DaKoM) 2030, Pelan Transformasi Koperasi Malaysia (TransKoM) 2025 dan Pelan Tindakan Digitalisasi Koperasi (DigiKOP) untuk memacu gerakan koperasi mampan dan berdaya saing dengan sektor swasta sekali gus berjaya menembusi pasaran antarabangsa.
Sementara itu Persidangan Menteri-Menteri Koperasi Asia Pasifik pada April lalu memperlihatkan gerakan koperasi Malaysia dikenal pasti lebih mendahului dalam beberapa aspek berbanding negara-negara lain dalam pembangunan sektor koperasi.
Beliau turut menerima undangan daripada Menteri Perdagangan Arab Saudi untuk menyertai ekspo francais di Riyadh selain menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan pihak kementerian terbabit pada November depan.