SHAH ALAM, 28 Ogos- Universiti Teknologi Mara (UiTM) perlu terus memainkan peranan dalam membawa kemajuan pendidikan kepada orang Melayu dan bumiputera bagi memastikan golongan berdikari.
Perkara itu dinyatakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof pada Malam Gala UiTM sempena Sambutan Jubli Perak: 25 Tahun UiTM sebagai sebuah universiti di Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC) di sini.
"Dalam keghairahan arus pendidikan dunia mengejar kemajuan dan kemodenan, UiTM berjaya untuk mengekalkan malah memartabatkan citra Bumiputera, dan pemikiran yang lebih mengakar kepada konteks tempatan.
"...dan tidak semena-mena menjadi pengagum aliran pendidikan barat semata-mata," katanya.
Dalam pada itu, Anwar turut mengagumi pencapaian UiTM menerusi kedudukan universiti itu di persada antarabangsa apabila menduduki tangga ke-587 dalam QS World University Rankings 2025, ke-98 dalam QS Asia University Rankings 2024 dan ke-599 dalam QS World University Rankings: Sustainability 2024, ke-151 di Asia dan ke-13 di Malaysia.
Beliau juga yakin UiTM akan terus menempa nama di persada dunia dengan pelbagai kejayaan, inisiatif dan ikhtiar yang lebih inovatif, sesuai dengan peredaran masa.
Terdahulu, dalam program sama, Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin yang juga Pro-Canselor UiTM berkenan merasmikan Sambutan Jubli Perak UiTM dan Monumen Hasrat sempena penubuhan UiTM sebagai sebuah universiti.