fb fb fb fb fb

Program Mari Derak Jeli perkenal pelbagai produk unik dan menarik di Kelantan

(Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Che Roslan Che Daud melepaskan peserta Konvoi Mari Derak Jeli
(MDJ) di perkarangan Kelantanfm di Wakaf Che Yeh, Kota Bharu, Kelantan)

KOTA BHARU, 24 Jun - Program Mari Derak Jeli (MDJ), inisiatif dilaksanakan Kelantanfm menjadi platform RTM memperkenalkan pelbagai produk unik dan menarik di Kelantan khususnya jajahan Jeli kepada pelancong domestik dan antarabangsa untuk berkunjung ke negeri berkenaan.

Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Che Roslan Che Daud berkata, program hasil cetusan Pengarah Penyiaran Kelantan, Wan Azhan Wan Hamat adalah pra-Program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia yang akan berlangsung di Kelantan pada Julai depan.

Pemilihan Jeli bertepatan dengan lokasinya yang strategik menawarkan keindahan alam semulajadi yang masih terpelihara, selaras dengan pengiktirafan Jeli sebagai "Bandar Paling Bahagia".

Kelantan mempunyai produk-produk industri kreatif dan unik yang sangat tinggi nilainya dan boleh dipromosikan melalui siaran kapsul atau dokumentari pendek sebagai medium untuk diketengahkan kepada orang ramai. Antaranya, aktiviti 'memerai' ikan.

"Salah satu kita nak promosikan atau galakkan masyarakat pelancongan domestik untuk hadir beramai-ramai, hadir ke kawasan Jeli dan saya dapati di kawasan Jeli hasil selidik bahawa masyarakat di Jeli lebih suka bergotong-royong sebab itulah kita pilih program merai, itu antara satu keunikan yang ada, disebabkan perkara tersebut kita pilih sebagai satu destinasi untuk kita adakan Mari Derak Jeli," kata beliau pada Majlis Pelancaran Konvoi Mari Derak Jeli di perkarangan Kelantanfm di Wakaf Che Yeh, di sini.


(Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Che Roslan Che Daud ditemu bual Berita RTM pada majlis 
pelancaran Konvoi Mari Derak Jeli)

Sebagai simbolik program MDJ, Datuk Che Roslan turut menyertai konvoi motosikal berkuasa tinggi bersama-sama Wan Azhan dan juga Pengarah JPJ Kelantan, Misuari Abdullah.

Konvoi akan merentasi perjalanan sejauh lebih 200 kilometer dan akan singgah di beberapa lokasi untuk menyantuni sepuluh keluarga yang kurang berkemampuan di Gunung Reng menerusi Program Kelantanfm Ambil Peduli, petang ini.

Program MDJ selama dua hari itu dijayakan dengan kerjasama rakan strategik Kelantanfm iaitu i-Medikel, JPJ Kelantan serta Kelab Motosikal Gahagi Bikers.

Jelas Che Roslan, RTM akan terus memperhebat program-program mendekati dan memahami denyut nadi rakyat seumpama itu dengan kerjasama kerajaan negeri daripada semasa ke semasa untuk mengangkat dan mempromosi produk-produk eko pelancongan serta keunikan yang terdapat di negeri berkenaan.

Media Baharu