BALING, 9 September - Program turun padang seperti Program Madani Rakyat (PMR) akan terus diperkukuh agar manfaatnya sampai ke seluruh negara.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam laman Facebook memaklumkan, menerusi program seperti PMR, rakyat dapat berinteraksi secara terus dengan pelbagai kementerian dan agensi kerajaan.
Sekali gus menjadi fokus utama PMR diadakan bagi membolehkan wakil daripada kerajaan turun padang untuk mendengar, memahami dan menyantuni rakyat.
Terdahulu pagi tadi, beliau mengiringi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadiri Majlis Perasmian Penutup PMR 2025 peringkat Negeri Kedah di Kompleks Sukan Majlis Daerah Baling di sini.
PMR 2025 peringkat Negeri Kedah diadakan selama tiga hari yang berakhir hari ini.
Bertemakan "Rakyat Prihatin, Negara Aman, Masa Depan Terjamin" program tersebut menzahirkan aspirasi kerajaan dalam membina masyarakat yang saling peduli, bersatu dan berdaya tahan.
PMR 2025 Kedah menampilkan pengisian yang lebih bersasar dengan memfokuskan kepada keperluan rakyat setempat.
Antara tarikan utama termasuk reruai perkhidmatan kerajaan Persekutuan dan Negeri, inisiatif kesejahteraan komuniti, jualan Rahmah Madani, jualan Agro Madani, diskaun saman trafik, dan program pertukaran topi keledar percuma oleh JPJ.