KUALA LANGAT, 6 September - Keunikan serta kepelbagaian seni dan budaya di Selangor merupakan antara sumber kekuatan utama yang menyumbang kepada kemajuan sektor pelancongan negeri itu.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kepelbagaian tersebut wujud hasil daripada trend migrasi berskala besar yang berlaku sejak ratusan tahun lalu ke negeri berkenaan.
"Selain mencatatkan kadar migrasi yang tinggi serta kehadiran masyarakat dari pelbagai negeri dan pelusuk dalam negara, Selangor turut menjadi kawasan tumpuan masyarakat dari seluruh dunia.
"Justeru, kadar pertumbuhan penduduk negeri ini mencatatkan peningkatan yang sangat ketara,” katanya ketika berucap merasmikan Festival Selangor @ Batu Laut di sini.
Menurut beliau, Selangor merekodkan pertambahan populasi mencecah 2 juta orang dalam tempoh sedekad, hasil daripada fenomena migrasi berterusan.
"Sebagai contoh, pada tahun 2008, jumlah penduduk Selangor dianggarkan seramai 4.8 juta. Menjelang tahun 2018, angka itu meningkat kepada 6.8 juta, dan kini pada tahun 2025, jumlah penduduk negeri ini telah melebihi 7.4 juta orang,” katanya lagi.
Datuk Seri Amirudin berkata, perkembangan tersebut turut membawa bersama kepelbagaian adat, budaya dan kesenian pelbagai etnik yang menjadikan Selangor sebuah negeri yang kaya dengan warisan budaya.
“Kehadiran mereka bukan hanya untuk bekerja, belajar atau menjalankan aktiviti ekonomi. Sebaliknya, mereka turut membawa bersama budaya, kesenian dan cara hidup masing-masing. Negeri ini menjadi kuat kerana kita bersedia menjadi ‘host’ kepada semua,” katanya.
Pada festival tersebut, muzik cempuling diangkat sebagai cabang kesenian beridentiti rakyat Selangor, selaras usaha Kerajaan Selangor untuk memelihara, memulihara serta mewartakan muzik cempuling sebagai salah satu warisan kesenian negeri.
"Kita membangunkan ataupun melaksanakan program pembangunan cempuling sebagai salah satu daripada imej yang kita ingin pamerkan. Kalau dulu cempuling kita lihat, pemain-pemainnya semua adalah pemain-pemain senior, tetapi hari ini kita dapat lihat pemain-pemain cempuling kita semua pemain-pemain muda.
"Kita dah ada 20 pasukan, ada sembilan pasukan yang aktif. Dan cempuling menjadi salah satu daripada imej ataupun rhythm yang kita ingin pamerkan sebagai The Rythm of Selangor pada masa hadapan, sebagai salah satu imej dan kebudayaan negeri yang kita cintai," ujarnya.
Festival Selangor @ Batu Laut 2025 berlangsung selama tiga hari bermula 5 hingga 7 September di Dataran Pantai Batu Laut, Tanjung Sepat, Kuala Langat, Selangor.