KUALA LANGAT, 6 September – Lebih RM1.7 juta diperuntukkan kepada persatuan dan syarikat di Selangor bagi menyemarakkan industri seni dan warisan kebudayaan negeri itu sepanjang tahun ini.
Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Mohd Amran Mohd Haris berkata daripada jumlah tersebut, RM1.7 juta telah disalurkan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menerusi Geran Sokongan Sektor Kebudayaan (GSSK) kepada 23 persatuan dan syarikat seni di negeri berkenaan.
Manakala, sebanyak RM95,000 lagi diagihkan kepada 18 persatuan seni budaya menerusi Bantuan Insentif Seni JKKN.
“MOTAC menyediakan dua bentuk insentif utama kepada penggiat seni budaya iaitu Geran Sokongan Sektor Kebudayaan yang diuruskan MOTAC sendiri, dan Bantuan Insentif Seni di bawah JKKN.
"Sebagai contoh, pada tahun 2024 sahaja, lebih RM3.5 juta telah disalurkan kepada 63 permohonan menerusi GSSK,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Festival Selangor @ Batu Laut 2025, yang berlangsung di sini hari ini.
Turut hadir, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari serta Exco Perumahan dan Kebudayaan Selangor, Datuk Borhan Aman Shah.
Tambah beliau, JKKN turut memperuntukkan kira-kira RM600,000 setahun bagi bantuan insentif seni, dan daripada jumlah itu, hampir RM100,000 disasarkan untuk disalurkan kepada badan bukan kerajaan (NGO) di Selangor.
“Melalui kedua-dua bentuk geran ini, kita berharap dapat menghidupkan kembali aktiviti seni budaya di Selangor dan menyemarakkan semula industri kreatif tempatan,” jelasnya.
Dalam perkembangan berkaitan, Mohd Amran turut menegaskan komitmen MOTAC dalam memperkasa program berteraskan seni dan budaya di seluruh negara.
Katanya, kerjasama pelbagai agensi dan sokongan masyarakat amat diperlukan bagi menjadikan sektor berkenaan sebagai antara penyumbang utama kepada ekonomi negara.