KUALA LUMPUR, 18 Jun- Program kesedaran dalam kalangan komuniti maritim perlu ditingkatkan secara berfokus dalam usaha mengurangkan risiko kehilangan nyawa dalam setiap insiden kecemasan khususnya di perairan negara.
Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Carilamat dan Bantuan Bencara Ibu Pejabat Maritim Putrajaya, Komander Maritim Mohd Ardi Mat Nawi berkata, perkara itu penting ketika berdepan situasi kecemasan.
"Ini adalah susulan daripada peningkatan statistik insiden carilamat yang direkodkan tahun ini, termasuk kehilangan nyawa yang masih membimbangkan. Justeru, program-program kesedaran seperti ini perlu dipertingkatkan bagi memastikan tahap kesedaran komuniti maritim terus meningkat, seterusnya membantu mengurangkan risiko kehilangan nyawa dalam setiap insiden kecemasan di perairan Malaysia.
"Antara golongan utama yang menjadi sasaran tahun ini ialah komuniti nelayan dan pemancing. Fokus diberikan kepada usaha meningkatkan kesedaran mereka terhadap aspek keselamatan serta penguasaan kemahiran asas yang penting, agar mereka mampu menyelamatkan diri sendiri atau diselamatkan ketika berdepan situasi kecemasan di laut," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Rancangan Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri Kota Media di sini.
Dalam pada itu Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) akan meneruskan fokus dengan pendekatan latihan langsung dan simulasi.