GEORGE TOWN, 18 Jun - Kerajaan Negeri Pulau Pinang bersetuju memperluas pemberian diskaun lima peratus bagi pembelian unit hartanah siap tidak terjual di negeri itu.
Ketua Menterinya Chow Kon Yeow berkata, pemberian potongan itu bertujuan merangsang sektor hartanah selain mengelakkan lambakan unit hartanah tidak terjual.
"Diskaun ini adalah untuk tempoh satu tahun sempena MADANI Home Ownership Campaign (MOC), ia tertakluk kepada pihak pemaju yang mengambil bahagian sahaja. Maksudnya ia tertakluk kepada penyertaan pemaju yang berdaftar dengan Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang.
"Ditegaskan ia tertumpu kepada unit-unit yang dikenal pasti tidak terjual yang mana maklumat berkaitan adalah diperolehi daripada pihak Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC)," katanya dalam sidang media, di sini.
Berdasarkan Laporan Pasaran Hartanah Negeri Pulau Pinang bagi Suku Keempat Tahun 2024 dikeluarkan NAPIC, sebanyak 2,796 unit kediaman dikenal pasti tidak terjual yang terdiri daripada pelbagai kategori.