fb fb fb fb fb

Penilai Negara perlu sedia hadapi era digital

Hari Penilai Negara ke-68 bertemakan 'Future Ready Valuer: Embracing AI, Enhancing Value' di Institut Penilaian Negara (INSPEN), Kajang

KAJANG, 18 Jun- Penilai Negara perlu bersedia untuk berubah dan menerima teknologi baharu seperti kecerdasan buatan (AI) dan data besar agar untuk kekal relevan dalam memainkan peranan penting terhadap pembangunan ekonomi negara.

Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying berkata kesediaan itu diperlukan seiring kemajuan teknologi masa kini serta perkembangan semasa global.

"Transformasi digital menuntut satu budaya kerja yang terbuka kepada pembelajaran sepanjang hayat. Penggunaan teknologi seperti AI, geospatial, dan sistem maklumat harta tanah secara integratif bukan sahaja akan mempermudah proses penilaian, malah meningkatkan ketelusan serta ketepatan maklumat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Hari Penilai Negara ke-68 bertemakan 'Future Ready Valuer: Embracing AI, Enhancing Value' di Institut Penilaian Negara (INSPEN) di sini.

Pada masa sama semua pihak termasuk sektor awam, swasta dan badan profesional perlu memperkukuh kerjasama dalam merealisasikan agenda pembangunan mampan negara.

"Penilai yang bersedia menghadapi masa depan adalah penilai yang bukan sahaja mahir dalam teknikal, tetapi juga beretika, inovatif dan berpandangan jauh," katanya lagi.

Majlis itu turut dihadiri Ketua Pengarah Penilaian dan Perkhidmatan Harta merangkap Presiden Persatuan Penilai ASEAN (AVA) Malaysia, Sr. Abdul Razak Yusak.

Beliau turut memuji usaha Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) serta Lembaga Penilai, Pentaksir, Ejen Harta Tanah dan Pengurus Harta (LPEPH) yang giat memperluas program latihan dan laluan profesional dalam bidang penilaian.

Antara inisiatif yang diketengahkan ialah Certified Property Management Programme (CPMP) bertujuan melahirkan Pengurus Harta Percubaan sebagai persediaan ke arah menjadi Pengurus Harta Berdaftar.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI