fb fb fb fb fb

KPWKM kemas kini data penuntut UPSI cedera, hilang upaya

Datuk Seri Dr Noraini Ahmad melawat salah seorang penuntut UPSI di Kampung Gong Kemuntong Jerteh terlibat kemalangan berhampiran Tasik Banding, Jalan Raya Timur-Barat, Gerik, Perak

BESUT, 18 Jun- Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) sedang mengemaskini data penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang mengalami kecederaan atau hilang upaya akibat kemalangan pada 9 Jun lalu.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata pihaknya telah mengarahkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melakukan siasatan seperti diarahkan pada mesyuarat pasca kabinet bagi melancarkan proses penyaluran bantuan kepada mangsa terlibat.

"Cedera macam patah kaki, tangan, kehilangan jari secara kekal melibatkan prosedur biasa. Nanti akan ada pegawai jumpa dengan mereka. Tetapi sekarang ini kita selesaikan perkara ini dahulu.

"Kita beri tempoh kepada mangsa terlibat untuk sembuh, ketika ini mereka masih mendapatkan rawatan di hospital. Jadi kita tidak mahu mengganggu mereka," katanya.

Pada masa sama pihak kementerian turut menyalurkan bantuan Skim Pemberian Ehsan Kepada Keluarga Mangsa (PEKA YKN) dalam bentuk wang tunai selain khidmat kaunseling psikologi oleh Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS) secara bergerak. 

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menziarahi Nur Ain Najwa Mohd Ilias 23 tahun di Kampung Gong Kemuntong Jerteh di sini.

Nur Ain mengalami patah tangan kiri dan menerima rawatan di Hospital Gerik semasa kejadian.

Datuk Seri Dr Noraini juga menziarahi Aleeya Maisarah Azizzani di Taman Perumahan Awam Gong Nering.

Aleeya 21 tahun penuntut Ijazah Sarjana Muda Bahasa Arab dengan Pendidikan turut menerima bantuan yang disalurkan .

Dalam kejadian kira-kira pukul 1.00 pagi, pada 9 Jun lalu, bas yang membawa 42 penumpang terdiri daripada pelajar UPSI dikatakan hilang kawalan sebelum merempuh sebuah kenderaan pelbagai guna berhampiran Tasik Banding, Jalan Raya Timur-Barat, Gerik, Perak.

15 mangsa terkorban dalam nahas itu manakala 33 lagi mengalami pelbagai kecederaan dan terdapat beberapa mangsa yang masih dirawat di hospital.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI