fb fb fb fb fb

Polis Kelantan buka 30 Kertas Siasatan Tatatertib

Foto RTM

KOTA BHARU, 18 Jun- Polis Kelantan telah membuka 30 Kertas Siasatan Tatatertib (KST) melibatkan salah laku anggota dan pegawai di negeri itu bermula Januari hingga Mei lalu.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, jumlah itu mencatatkan peningkatan hampir 100 peratus berbanding 18 kes bagi tempoh sama pada tahun lalu.

Menurutnya, pada masa sama Kertas Enkuiri Tatatertib (KET) turut melonjak kepada 11 kes berbanding hanya satu kes sepanjang tempoh tersebut pada tahun lalu.

"Saya selalu ingatkan kepada pegawai dan anggota untuk bekerja dengan lebih integriti dan sebagainya dalam mengekang masalah isu-isu semasa, dalam masa sama melihat kepada salah laku pegawai dan anggota di Kelantan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang Media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini hari ini.

Tambahnya, kesalahan yang dikesan antaranya pelbagai salah laku termasuk penyalahgunaan dadah, ketum, dan isu-isu tatakelakuan yang menjejaskan nama baik pasukan.

Beliau berkata, semua kes akan disiasat secara menyeluruh mengikut peraturan undang-undang dan tatatertib yang ditetapkan.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM