fb fb fb fb fb

Latihan Simulasi PPS perkukuh kesiapsiagaan bencana di Putrajaya

Latihan Simulasi Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Putrajaya

PUTRAJAYA, 18 Jun- Perbadanan Putrajaya (PPj) dengan kerjasama Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Wilayah Persekutuan Putrajaya memperkukuh kesiapsiagaan dalam menghadapi bencana menerusi penganjuran Latihan Simulasi Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

Presiden PPj, Datuk Fadlun Mak Ujud, berkata, latihan itu merupakan sebahagian daripada pelaksanaan Arahan NADMA 01 yang menekankan aspek pengurusan PPS secara cekap, tersusun dan bersepadu.

Simulasi kali ini memberi fokus kepada pengurusan PPS susulan insiden tanah runtuh Tahap 1 yang melibatkan 25 orang mangsa.

Lokasi ditetapkan di sekitar Tasik Presint 8, manakala Dewan Kompleks Kejiranan Presint 8 digunakan sepenuhnya sebagai PPS.

Seramai 139 peserta mengambil bahagian dalam latihan ini merangkumi anggota operasi, penilai dan pemerhati dengan sokongan 10 aset logistik termasuk kenderaan pacuan empat roda, van, ambulans dan lori.

Latihan itu turut memberi penekanan kepada aspek kecekapan sumber manusia, komunikasi, peralatan serta keberkesanan pelan tindak balas kecemasan selain menguji kesiapsiagaan dan koordinasi antara agens.

Program seumpama itu dapat memperkukuh keupayaan agensi terlibat serta meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap sistem pengurusan bencana yang sistematik, pantas dan berperikemanusiaan.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI