(FOTO HIASAN)
SEREMBAN, 22 September- Sebanyak 2,232 peluang pekerjaan ditawarkan menerusi Program Kerjaya @MOT anjuran Kementerian Pengangkutan di Pusat Beli belah AEON Mall, Nilai; hujung minggu ini.
Exco Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan Negeri Sembilan, J. Arul Kumar berkata, antara agensi terlibat Air Asia Berhad, MYAirline dan Batik Air termasuk Prasarana dan Malaysia Airport Holding Berhad.
Program itu menyasarkan golongan B40 serta golongan pesara untuk mengambil peluang tersebut bagi mengisi kekosongan jawatan yang ditawarkan yang meliputi semua skop bidang pekerjaan antaranya pentadbiran, pengurusan, teknikal dan keselamatan.
"Kita sasarkan golongannya adalah golongan yang berada dalam kelompok B40 atau pun miskin tegar dan juga pesara. Kita ada beberapa peluang pekerjaan, jawatan kosong ini boleh diisi oleh pesara sebagai sumber pendapatan bagi mereka selepas mereka bersara.
"Sasaran sudah tentu kita mahukan semaksimum jawatan kosong ini perlu diisi, kita tak mahu kita buat program seperti ini kita tidak mendapat sambutan yang baik sebab itu kita perlukan lebih ramai orang datang manfaatkan peluang ini," katanya.
(Exco Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan Negeri Sembilan, J. Arul Kumar)
J. Arul berkata demikian selepas sesi temubual bersama NEGERIfm di Kompleks Penyiaran Tuanku Muhammad, Seremban.
Tambahnya, antara perkhidmatan lain akan ditawarkan pada program tersebut ialah Mobile Van Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), MyJPJ, MySIKAP, MyLesen/MyPSV serta pendedahan kerjaya dalam bidang perkapalan.