JOHOR BAHRU, 13 Jun - Penganjuran Program Kazan, Rusia sempena Festival Muslim Antarabangsa di Perbadanan Perpustakaan Awam Johor, di sini menjadi medium perkongsian nilai budaya dari negara luar menerusi tayangan filem.
Isteri Pemangku Sultan Johor, Che Puan Mahkota Khaleeda Johor memaklumkan, program selama tiga hari itu menjadi simbol kepada hubungan antara Kazan dan Johor yang kaya dengan sejarah, budaya dan tradisi unik.
"Melalui festival ini, kita bukan sahaja diberi peluang untuk menikmati karya-karya seni dari Kazan, malah berpeluang dalam memahami nilai-nilai kehidupan serta budaya Kazan. Perpustakaan juga boleh menjadi platform untuk memperkenalkan karya supaya lebih ramai orang berpeluang melihat karya mereka," titah Che Puan Mahkota Khaleeda pada Majlis Perasmian Program Kazan (Rusia), sempena Festival Muslim Antarabangsa, di Perbadanan Perpustakaan Awam Johor (PPAJ), di sini.
Sementara itu, menurut Exco Pendidikan dan Penerangan Aznan Tamin merangkap Pengerusi Lembaga Pengarah (PPAJ) program itu merupakan usaha meningkatkan jumlah pengunjung yang hadir di perpustakaan berkenaan.
"Hari ini kita buat filem, program dan perpustakaan di Johor. Ini menarik, kerana salah satu perpustakaan yang terawal berkolaborasi bersama-sama Petrosains. Saya dimaklumkan sudah mula ada penambahan 25 peratus daripada segi kehadirannya, baru sampai setengah tahun. Jadi kita harap ada penambahan lagi hingga ke akhir tahun, mungkin menjadi tempat rujukan, atau persinggahan komuniti sekitar ini," kata Aznan.