DUNGUN, 22 Jun- Program Jualan Segar Pavilion Usahawan Ketengah anjuran Lembaga Kemajuan Tengah (KETENGAH), di perkarangan Galeri Pavilion Bandar Al Muktafi Billah Shah, Dungun, Terengganu mendapat reaksi positif orang ramai.
Tinjauan mendapati orang ramai berpuas hati dengan kaedah jualan terutama harga yang berpatutan dan jauh lebih murah berbanding di pasaraya dan kedai runcit.
Bagi Muhammad Muda, 65, harga yang lebih murah mendorongnya untuk mendapatkan barang keperluan di situ.
Sebagai contoh, harga satu kilogram (kg) daging lembu dijual pada harga RM32 berbanding di tempat lain antara RM35 hingga RM36 manakala ayam segar pula dijual pada harga RM10 seekor.
Sementara itu, Mohamad Noor Ali, 65, pula berkata, bekalan sayuran, kobis, tomato, ubi kentang, halia dan timun batang dijual dengan potongan harga antara lima hingga 20 peratus.
Menurutnya, program yang dianjurkan KETENGAH dilihat bertepatan dalam mematuhi harga semasa.
Kaedah jualan tersebut dapat membantu para pengguna untuk mendapatkan harga yang lebih murah ketika rakyat berdepan dengan sumber pendapatan yang terjejas.
Pihak KETENGAH juga pernah beberapa kali melaksanakan program tersebut di Bandar Al-Muktafi Billal Shah, Dungun.
Program yang bermula pada pukul 8.00 pagi hingga pukul 12.00 tengah hari itu, mendapat sambutan yang memberangsangkan oleh penduduk kampung berkenaan.
Dengan adanya program jualan tersebut, pengguna juga mendapat produk segar terus dari ladang serta dapat menikmati tawaran harga lima hingga 20 peratus lebih murah berbanding yang dijual di premis serta pasar besar.
KETENGAH juga berharap Program Jualan Segar itu dapat meringankan beban kepada para pengguna.