KUALA NERUS, 1 Mac – Menjelang satu Ramadan esok, Maidam Property Sdn Bhd mengambil inisiatif menganjurkan program Jualan Rakyat Daging Tempatan di perkarangan Masjid Wakaf Tembesu, di sini, bagi membantu masyarakat mendapatkan bekalan daging pada harga lebih rendah.
Ahli Lembaga Pengarah Maidam Property, Datuk Shaikh Harun Ismail berkata program tersebut menawarkan penjimatan sehingga 33 peratus berbanding harga pasaran.
"Program ini membolehkan orang ramai mendapatkan daging lembu tempatan pada harga RM25 sekilogram berbanding RM36 sekilogram di pasar awam," katanya selepas meninjau program berkenaan, di sini.
Menurutnya, sebanyak 1,400 kilogram daging lembu tempatan habis terjual dalam tempoh satu jam, menunjukkan sambutan luar biasa daripada masyarakat setempat.
Shaikh Harun turut memaklumkan, Maidam Property Sdn Bhd yang merupakan anak syarikat Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), telah melantik beberapa pemborong lembu bagi menguruskan jualan rakyat daging tempatan di seluruh negeri.
“Dengan program ini, kami berharap dapat menstabilkan dan mengharmonikan harga daging lembu tempatan dalam pasaran," katanya.
Selain jualan daging tempatan, program itu turut akan diperluaskan sepanjang Ramadan dengan penawaran barangan keperluan asas seperti minyak, beras, telur, dan gula pada harga berpatutan.
Jualan barangan keperluan tersebut dijangka dianjurkan sebelum 10 Ramadan bagi memastikan rakyat mendapat manfaat menjelang bulan puasa.