fb fb fb fb fb

Program Jualan Rahmah Perlis 16-21 April

(Program Jualan Rahmah di Perlis membabitkan empat cawangan kedai AMG Group)

KANGAR, 18 April- Bagi membolehkan orang ramai mendapatkan barangan keperluan dengan harga berpatutan dan lebih murah dari harga pasaran, Program Jualan Rahmah dilaksanakan di Perlis bermula 16 April hingga 21 April ini.

Program anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Perlis dengan kerjasama rakan strategik AMG Group.

Menurut Pengarah KPDN Negeri, Norazah Jaapar, empat cawangan kedai AMG Group terlibat dengan Jualan Rahmah iaitu NFS AMG Trading Cawangan Bintong, NFS AMG Trading Cawangan Arau, Zihah AMG Trading Cawangan Sena dan Adam AMG Trading di Kuala Perlis.

Pelaksanaan inisiatif Jualan Rahmah memfokuskan kepada 22 jenis barangan yang dijual pada harga diskaun yang disyorkan kerajaan iaitu antara 10% hingga 30% lebih rendah dari harga sebenar.

Program ini akan dilaksanakan secara berterusan sehingga Disember tahun ini dan akan diperluaskan ke kawasan bersasar seluruh Perlis.

"Setakat ini hasil kerjasama dengan pihak NFS tidak menghadkan sebarang kuantiti khusus bagi satu-satu masa. Yang ini berterusan, bagaimanapun bagi barang-barang kawalan ada jumlah had pembelian macam contoh minyak masak paket, kita hadkan sebanyak tiga paket sahaja bagi setiap pembelian,"kata Norazah.

Beliau ditemui pada Pelancaran Jualan Rahmah Peringkat Negeri Perlis di NFS AMG Trading Cawangan Bintong.

KPDN Perlis mengalu-alukan lebih banyak premis peruncitan menyahut dan menyokong usaha kerajaan dengan menyertai inisiatif Payung Rahmah merangkumi lima program utama iaitu Bakul Rahmah, Jualan Rahmah, Menu Rahmah, Pakej Rahman dan Kafe Rahmah.


(Pengarah KPDN Negeri, Norazah Jaapar (tengah) menunjukkan
beras yang dijual dengan harga lebih murah)

Media Baharu