PUTRAJAYA, 18 April - Kerajaan bersetuju meningkatkan Pemberian Berdasarkan Tahap Pembangunan Ekonomi, Infrastruktur dan Kesejahteraan Hidup (TAHAP) kepada RM400 juta.
Inisiatif itu antara tujuh penambahbaikan dalam pemberian dan sokongan kepada kerajaan negeri untuk tahun 2023 seperti diputuskan dalam mesyuarat Majlis Kewangan Negara yang dihadiri semua Menteri Besar dan Ketua Menteri atau wakil dari setiap negeri.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata keputusan itu menzahirkan komitmen serta kesungguhan kerajaan dalam menyediakan peluang kepada kerajaan negeri untuk melaksanakan projek pembangunan mengikut keutamaan dan acuan negeri masing-masing dan seterusnya dapat memperkukuh lagi momentum pemulihan ekonomi ke arah pembangunan Malaysia Madani.

"Sebagaimana diumumkan dalam Belanjawan Madani, Majlis Kewangan Negara bersetuju dengan kenaikan peruntukan Pemberian Ecological Fiscal Transfer (EFT) kepada RM150 juta berbanding RM70 juta pada tahun 2022.
"Kenaikan ini ialah galakan khusus kepada negeri-negeri yang mewartakan kawasan perlindungan baharu," katanya menerusi kenyataan selepas mempengerusikan mesyuarat tersebut, di sini, hari ini.
Bagi tujuan penambahbaikan ke atas pinjaman Kerajaan Persekutuan kepada Kerajaan Negeri, Perdana Menteri berkata Kementerian Kewangan bersetuju mempertimbangkan dan meminda kaedah pengeluaran kepada secara bayaran kemajuan kerja (progressive payment) membabitkan pinjaman baharu bagi projek pembangunan di bawah Rolling Plan Rancangan Malaysia.
Jelasnya, pendekatan itu dapat menyegerakan proses penyaluran peruntukan yang disediakan secara pinjaman, membantu kerajaan negeri yang mempunyai masalah aliran tunai dan bergantung kepada peruntukan pinjaman bagi melaksanakan projek pembangunan serta akan melancarkan pelaksanaan projek pembangunan.
"Kerajaan turut bersetuju supaya pakej insentif cukai bagi pelaburan ke negeri dilanjutkan bagi tempoh peralihan dua tahun sehingga 31 Disember 2024 membabitkan negeri seperti Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor dan Sabah selaras dengan hasrat kerajaan untuk mengimbangi pembangunan di seluruh negara melalui aktiviti pelaburan yang dilaksanakan oleh pihak swasta.
"Ini juga sebagai satu langkah interim ke arah pemakaian struktur insentif baharu yang lebih menyeluruh," katanya.