fb fb fb fb fb

Program Jualan Keluarga Malaysia diperluas ke setiap DUN, tawar harga lebih murah - Annuar

PUTRAJAYA, 7 Julai- Program Jualan Keluarga Malaysia akan dibuat pada skala yang lebih besar dan menyeluruh agar lebih banyak barangan dapat dijual dan disertai lebih banyak premis.

Menurut Pengerusi Pasukan Khas Jihad tangani Inflasi, Tan Sri Annuar Musa sehingga kini sebanyak RM12 juta daripada RM100 juta peruntukan telah dibelanjakan untuk melaksanakan program tersebut.

"Satu kaedah yang diperbaharui, melibatkan kerjasama penuh beberapa premis, pasaraya dan kedai terpilih. Selain barangan yang dijual adalah lebih murah. Maka, ruang jualan murah Keluarga Malaysia akan diwujudkan di seluruh negara di semua kawasan-kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN), parlimen dan sebagainya secara besar-besaran," kata Annuar Musa dalam satu sidang media hari ini.

Tambahnya, beliau berharap pendekatan baharu itu akan dapat dilaksanakan dalam masa terdekat secara berterusan di premis atau pasaraya terpilih.

Sementara itu, kerajaan komited memastikan harga minyak masak di pasaran dapat diturunkan apabila harga komoditi sawit menunjukkan penurunan.

Menurut Tan Sri Annuar Musa, komitmen sama turut diminta kepada pengilang minyak masak.

"Kita akan pantau kadar sebenar harga sawit dalam masa terdekat dan apabila kadar itu turun lebih rendah maka komitmen pengilang dan peruncit untuk mengurangkan harga minyak yang dijual perlu dilaksanakan," tambah Annuar Musa.


(Foto Fail)

Dalam pada itu, Annuar turut mengulas berhubung Bank Negara Malaysia (BNM) dan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) perlu membuat penjelasan lanjut bagi pengetahuan orang ramai berhubung pengumuman baharu berkaitan kadar faedah.

Ia perlu agar orang ramai dapat memahami justifikasi sesuatu tindakan tertentu diambil.

"Saya harap kita semua dapat memahami bahawasanya badan yang menentukan kadar faedah itu adalah satu badan yang bebas.Mereka mempunyai alasan dan sebab-sebab tertentu namun perlu memberikan penjelasan kepada umum untuk kefahaman rakyat," ulas Annuar Musa.

Media Baharu