fb fb fb fb fb

Program Jualan Keluarga Malaysia diperluas, diadakan setiap minggu

(Melalui Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM), rakyat berpeluang membeli barangan dengan
lebih murah sehingga 20% daripada harga pasaran/FOTO FAIL)

KUALA LUMPUR, 18 Julai- Kerajaan memperluas Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) dengan jangkaan peruntukan kira-kira RM80 juta bagi membantu rakyat mendapatkan bekalan keperluan harian pada harga lebih murah daripada pasaran.

Menurut Pengerusi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi, Tan Sri Annuar Musa, mulai bulan depan, pihaknya menyasarkan 613 lokasi berbanding 222 sebelum ini dengan memfokuskan barang-barang utama keperluan harian seperti ayam, telur, minyak masak, beras dan lain-lain.

Beliau berkata, kementerian yang terlibat ialah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan, Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi serta Kementerian Wilayah Persekutuan.

“PJKM ini akan diadakan setiap minggu bermula bulan ini berbanding dua kali seminggu sebelum ini bagi memastikan rakyat mampu membeli barangan keperluan dengan harga berpatutan.

(Kerajaan memperluas Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) dengan jangkaan peruntukan
kira-kira RM80 juta 
bagi membantu rakyat mendapatkan bekalan keperluan harian
pada harga lebih murah daripada pasaran)

“Melalui program ini juga, rakyat berpeluang membeli barangan dengan lebih murah sehingga 20 peratus daripada harga pasaran.

“Ini dapat meringankan beban kos sara hidup bulanan, lebih-lebih lagi dari segi barangan dapur dan keperluan,” katanya ketika sidang akhbar di Pusat Media Parlimen di sini.

Turut hadir, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Tambah Tan Sri Annuar Musa, pendekatan kali ini juga akan melibatkan kerjasama kedai-kedai tertentu tidak kira kecil atau besar termasuk kedai-kedai koperasi.

"Ia juga akan melibatkan penyertaan dan kerjasama wakil-wakil rakyat bagi membolehkan mereka membantu memilih lokasi, membuat publisiti dan sama-sama menganjurkan program ini secara besar-besaran," katanya.

Media Baharu