fb fb fb fb fb

Program JIWA@Kelab Malaysiaku bina semangat patriotik pelajar

Foto RTM

LABUAN, 3 Julai-Pelajar diseru agar bergiat aktif dalam aktiviti yang mampu membentuk semangat patriotik dan jati diri demi melahirkan barisan pemimpin masa depan yang berwawasan serta berjaya.

Ketua Penolong Pengarah, Pembangunan Bakat Murid, Sektor Pembangunan Murid, Jabatan Pendidikan Labuan, Samsul Mandisin berkata, pelajar memainkan peranan penting dalam pembinaan sahsiah diri yang berkualiti dan harus aktif menyertai program berteraskan kemenjadian murid.

“Pelajar perlu memiliki moral dan akhlak yang baik, memberi tumpuan dalam pembelajaran, mengamalkan disiplin serta sentiasa bertanggungjawab.

“Kejayaan hanya akan datang kepada mereka yang berusaha, memperbaiki kelemahan dan berani melihat potensi diri untuk terus maju,” katanya ketika berucap merasmikan Program JIWA@Kelab Malaysiaku di Dewan Juara, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Labuan di sini.

Program anjuran Jabatan Penerangan Labuan itu bertujuan membentuk generasi pelajar yang bersatu padu, berfikiran kritis dan proaktif menerusi pendedahan kepada teknik komunikasi massa dan interaksi bersemuka.

Menurutnya, penganjuran program seperti ini juga menjadi platform untuk mencungkil bakat pelajar serta memperkasakan penyampaian maklumat kenegaraan melalui pendekatan yang lebih mesra dan berkesan.

Program yang berlangsung turut diisi dengan Taklimat Kenegaraan, Taklimat Kempen Internet Selamat serta Ceramah Motivasi untuk menyemai nilai patriotisme dan kesedaran sivik dalam kalangan pelajar.

“Melalui Kelab Malaysiaku yang berasaskan kokurikulum sekolah, pelajar diberi ruang untuk memahami dasar kerajaan serta mengembangkan minat terhadap isu semasa negara,” ujarnya.

Di Labuan, sebanyak 10 buah sekolah menengah aktif menggerakkan Kelab Malaysiaku, menjadikan ia satu rangkaian penting dalam usaha membina identiti nasional di peringkat sekolah.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD