BATU GAJAH, 13 Mei- Pelaksanaan Eco Green Market merancakkan lagi aktiviti kitar semula dalam kalangan komuniti setempat dengan menukar barangan kitar semula kepada barangan keperluan harian.
Inisiatif yang digerakkan seawal tahun 2017 oleh Majlis Daerah Batu Gajah (MDBG) itu, berjaya mengumpul 13 tan sisa kitar semula tidak termasuk sisa elektronik (e-waste).
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri, Sandrea Ng Shy Ching, program tersebut dimantapkan lagi dengan pelantikan 33 Eco Warrior yang terdiri daripada agensi kerajaan, syarikat swasta dan institusi pendidikan.
"Pendekatan yang digunakan adalah menggalakkan komuniti dan pihak swasta untuk bawa barang kitar semula, hantar kepada pihak majlis dan ditukar dengan kupon yang boleh ditukar dengan barang keperluan harian, barang makanan.
Ini satu pendekatan untuk galakkan bahawa komuniti dan pihak swasta nampak nilai-nilai pada bahan yang boleh dikitar semula selain membantu majlis dalam kurangkan sisa pepejal. Ayuh bantu kita bersama-sama dalam meluaskan pendekatan yang mesra alam," kata Sandrea kepada pemberita ketika merasmikan Eco Green Market di Pasar Awam Batu Gajah.
(Menerusi inisiatif tersebut, komuniti setempat boleh menukar barangan kitar semula
kepada barangan keperluan harian)
Hadir sama Yang Dipertua Majlis Daerah Batu Gajah, Mohamad Razif Ramli.
Ujarnya, pelaksanaan program tersebut dilihat bertepatan bagi menjaga persekitaran yang mampu memberi kesan kepada perubahan iklim yang tidak menentu ketika ini.