KUALA LUMPUR, 13 Mei- Empat agensi diarahkan untuk menyiasat dan mengambil tindakan perundangan terhadap pihak yang bertanggungjawab atas kerugian ditanggung negara akibat rasuah.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ia melibatkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Bank Negara Malaysia (BNM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
"Kaya tidak apa, tapi yang korup, harta berbilion dalam dan luar negara, yang menyorok. Itu mereka nampaknya kumpul. Tapi saya sudah ambil keputusan dan tekad masalah Malaysia ini mesti diselamatkan dan ini memerlukan tekad politik yang jelas, yang tegas bukan soal kaum, bukan soal penganut agama berbeza, dia soal akhlak, soal nilai," katanya.
(Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika ditemui pemberita pada
Program Aidilfitri Malaysia Madani anjuran JAWI di Dataran Merdeka)
Beliau bercakap kepada media selepas menghadiri Program Aidilfitri Malaysia Madani anjuran Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) di Dataran Merdeka, di sini hari ini.
Semalam media melaporkan, Malaysia dianggarkan berdepan dengan jumlah kerugian sebanyak RM4.5 trilion dalam tempoh 26 tahun disebabkan rasuah dan ketirisan,.
Menurut EMIR Research, badan pemikir berpangkalan di Kuala Lumpur, anggaran kerugian yang dihadapi negara bermula dari Krisis Kewangan Asia pada 1997 sehingga tahun ini adalah secara konservatif dan jumlahnya berkemungkinan lebih besar.