PUTRAJAYA, 8 April - Program Duta Komuniti terus aktif menyantuni masyarakat dan terbaharu digerakkan bagi mendidik masyarakat berhubung pematuhan Prosedur Operasi Standard, SOP aktiviti mengimarahkan masjid sempena bulan Ramadan.
Bertempat di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya, lima Duta Komuniti turun padang memperkasa pembudayaan kawalan kendiri dalam kalangan jemaah semasa solat Tarawih.
Program dijayakan dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, JAKIM.
"Lima orang yang terlibat dan seperti dilihat mereka akan memakai vest yang disediakan urusetia. Setiap malam Duta Komuniti ini akan bertugas menyantuni para jemaah untuk memberi peringatan tentang SOP dalam suasana COVID-19 sekarang ini," Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Dakwah JAKIM, Mohd Rezuan Dollah.
(Mohd Rezuan Dollah)
Orang ramai turut menyambut baik program yang dilaksanakan.
"Dengan adanya Duta Komuniti ini, maka penularan wabak inimakin terjaga, maksudnya dia akan sentiasa menasihati untuk kita memakai pelitup muka jadi lagi baguslah. Orang datang masjid akan lebih terpelihara," menurut Pelajar, Muhd Amirul Azizi Ishak.
"Semua ahli jemaah diingatkan untuk sentiasa mematuhi SOP yang telah ditetapkan jadi kita tidak mudah lalai misalnya kalau kita terlupa memakai pelitup muka kita akan terus pakai apabila diingati oleh para Duta Komuniti," jelas Zeti Mohd Arifin.
Kementerian Komunikasi dan Multimedia, K-KOMM merupakan penyelaras program Duta Komuniti.
Ia bertujuan menggembleng komuniti untuk turun padang memastikan fasa peralihan ke endemik berjalan dengan selamat.