fb fb fb fb fb

Program Derma Darah: Prihatin masalah kekurangan darah yang semakin membimbangkan

Program Derma Darah Perdana.

ALOR SETAR, 12 Julai -  Prihatin dengan masalah kekurangan bekalan darah yang semakin membimbangkan, Majlis Jaksa Pendamai Negeri Kedah merancang untuk melaksanakan Program Derma Darah Perdana siri kedua dengan sasaran 5,000 beg darah dapat dikumpulkan.
 
Sasaran itu jauh lebih tinggi berbanding 3,150 beg darah yang berjaya dikumpul pada siri pertama penghujung tahun lalu. 

Presiden Majlis Jaksa Pendamai Negeri Kedah, Datuk Syed Azizan Syed Mohamad Al-Idrus berkata program derma darah tersebut bagi memenuhi keperluan transfusi darah di hospital-hospital yang semakin mendesak.
 
"Program kali ini akan diperluaskan ke Institusi Pengajian Tinggi IPT, kawasan industri termasuk di Kulim High Tech Park, kem tentera dan jabatan kerajaan selain tempat tumpuan awam", katanya di Kedah Royal Club, Alor Setar.
 
Sehubungan itu, beliau menggesa pertubuhan badan bukan kerajaan NGO yang berminat untuk bekerjasama bagi menjayakan program derma darah pada hujung tahun ini.
  
Kejayaan pada siri pertama menyaksikan Majlis Jaksa Pendamai Negeri Kedah menjadi NGO pertama di Kedah menerima anugerah “Penganjur Derma Darah Paling Komited” sempena Majlis Apresiasi Penderma Darah Sedunia Peringkat Kebangsaan Tahun 2025 yang diadakan pada 14 Jun lalu.
 

HASRON BIN HASSAN