fb fb fb fb fb

Program cintai pantai bersihkan Pulau Batu Layang Perlis

Program CSR akan dilaksanakan secara berkala kerana ia mampu memberi manfaat kepada masyarakat dan alam sekitar

KUALA PERLIS, 5 Mei - Seramai 21 peserta dari Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta Negeri Perlis serta Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Kuala Perlis bergabung tenaga bagi menjayakan Program Tanggungjawab Sosial (CSR) Cintai Pantai di Pulau Batu Layang, di sini.

Pulau kecil yang tidak berpenghuni terletak 1.3 kilometer dari pesisir pantai Kuala Perlis adalah satu-satunya pulau yang terdapat di negeri itu yang terdiri daripada batuan semata-mata.

Menurut Pengarah Penilaian dan Perkhidmatan Harta Negeri Faridah Abdul Rahim dalam kenyataannya, lokasi tersebut juga merupakan tempat tumpuan berikutan perairannya yang menjadi antara lubuk serta tarikan ikan lumba-lumba dari spesies Indo Pacific Humpback serta lokasi kaki pancing.

Program CSR ini sebagai usaha menyemarakkan semangat kesukarelawanan dalam kalangan warga kerja kedua-dua agensi, selain meningkatkan rasa kebertanggungjawaban semua pihak memastikan kawasan sekitar Pulau Batu Layang adalah bersih, cantik dan indah.

"Usaha ini juga bagi menyemarakkan Tahun Melawat Perlis 2024-2025 yang sedang berlangsung dimana Pulau Batu Layang ini antara lokasi tumpuan pelancong untuk menikmati keindaham alam dan mengabadikan kenangan bersama keluarga serta aktiviti memancing."

"Melalui pelaksanaan aktiviti CSR ini membolehkan peserta untuk lebih menghargai keindahan Pulau Batu Layang yang seterusnya membudayakan inisiatif hijau dalam kehidupan seharian serta aktiviti kesukarelawanan seperti ini harus dibudayakan oleh semua pihak supaya alam sekitar kita sentiasa terpelihara.," kata Faridah.

Sepanjang program berlangsung, peserta terlibat berjaya mengumpul kira-kira 30 kilogram sampah seperti botol air, beg plastik, bekas makanan dan serpihan-serpihan kayu hanyut serta sampah yang ditinggalkan.

 

TETITIA YUSOFF