LABUAN, 19 Julai -Sebanyak 40 lokasi di seluruh Labuan terlibat dalam pelaksanaan program Bersih Setiap Tempat (BEST), meliputi 27 buah kampung dan kawasan sasaran di sekitar bandar.
Program di peringkat Labuan itu melibatka penduduk setempat, pemimpin masyarakat, kakitangan kerajaan, swasta serta sukarelawan belia dan badan bukan kerajaan (NGO).
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan Mohd Sukuran Taib berkata, ia merupakan inisiatif kempen kebersihan bertujuan menjadikan Wilayah Persekutuan khasnya di Labuan sebagai kawasan bersih dan sesuai untuk didiami.
"Sudah tentu memberi satu imej yang positif, imej baru imej yang bersih kepada Labuan. Sudah tentu dia akan menggalakkan memberi satu senario satu pandangan bahawa Labuan sebuah pulau yang bersih dan pada masa sama, kita dapat menyemarakkan lagi industri-industri pelancongan yang melibatkan pantai kita, makanan kita dan sebab itu kita anjurkan," katanya.
Mohd Sukuran bercakap kepada media selepas melakukan tinjauan di Taman Burung Labuan yang merupakan salah satu lokasi program berkenaan.
Penganjuran kempen berkenaan adalah bersempena penganjuran Borneo Flora Festival (BFF) yang akan berlangsung pada 26 Julai ini.
Program BEST diilhamkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa yang dilaksanakan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.