fb fb fb fb fb

Israel, Syria meterai gencatan senjata

FOTO REUTERS

ANKARA, 19 Julai – Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan pemimpin interim Syria, Ahmad al-Sharaa, telah mencapai persetujuan untuk melaksanakan gencatan senjata, menurut pengumuman Duta Amerika Syarikat ke Turkiye, Tom Barrack menerusi laman media sosial, Sabtu.

Gencatan senjata itu tercapai selepas beberapa hari berlaku pertempuran berdarah melibatkan tentera kerajaan Syria, komuniti Druze dan suku Badwi di wilayah Sweida, barat daya Syria.

Menurut Barrack, inisiatif damai tersebut mendapat sokongan penuh Amerika Syarikat dan disambut baik oleh Turkiye, Jordan serta negara-negara jiran Syria.

“Kami menyeru komuniti Druze, Badwi dan Sunni supaya meletakkan senjata, serta bersama golongan minoriti lain membentuk identiti baharu Syria yang bersatu padu dalam suasana aman dan makmur bersama jiran-jirannya,” katanya menerusi platform X.

Setakat ini, tiada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh pihak berkuasa Syria mahupun kerajaan Israel berhubung perkembangan tersebut.

Pada 13 Julai lalu, insiden melibatkan ahli bersenjata dari suku Badwi yang menyerang dan merompak seorang pemuda Druze berhampiran pekan al-Masmiyah di lebuh raya Damsyik-Sweida, dilaporkan mencetuskan ketegangan.

Serangan itu telah mencetuskan tindakan balas berupa penculikan yang akhirnya mencetuskan konflik bersenjata secara besar-besaran antara kumpulan tempatan Druze, tentera kerajaan dan militan Bedouin.

Israel turut melancarkan beberapa siri serangan udara ke atas Damsyik dan Sweida pada Rabu, dengan alasan melindungi komuniti minoriti Druze daripada serangan. Tindakan tersebut bagaimanapun menerima kecaman keras serta-merta daripada masyarakat antarabangsa.

Beberapa jam selepas serangan Israel, satu perjanjian gencatan senjata rapuh mula dikuatkuasakan antara kerajaan interim Syria dan para pemimpin spiritual Druze.

Ia merangkumi penghentian sepenuhnya segala bentuk pertempuran, penempatan semula unit tentera ke berek masing-masing, serta pengembalian kawalan penuh wilayah Sweida kepada pihak kerajaan pusat.-REUTERS

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE