fb fb fb fb fb

Program advokasi JKM, perkasa perlindungan kanak-kanak

Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri (tiga,kiri) melawat Orangutan Kids Zone pada Majlis Pelancaran 'Raikan Keceriaan Keluarga di KLIA Terminal 1' hari ini/BERNAMA

SEPANG, 10 April- Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan terus menggerakkan Program Advokasi Perlindungan Kanak-Kanak melalui Jabatan Kebajikan Masarakat (JKM).

Usaha itu dilaksana bagi memerangi kesalahan seksual dalam kalangan golongan bawah umur.

Menurut Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri, program itu akan diteruskan di semua sekolah seluruh negara serta 30 Pusat Aktiviti Kanak-Kanak (PAKK) diikuti dengan sokongan Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS) bermula April ini.

Walaupun terdapat program kaunseling di sekolah, kanak kanak cenderung untuk memilih berdiam diri.

Oleh itu, program berkenaan merupakan antara inisiatif untuk mendekati mereka.

"Kita sedang giat memanfaat fungsi PSSS termasuk kita ada trak untuk kita bawa kaunselor bertauliah dan profesional dalam advokasi ini.

Jadi, kaunselor kita dapati melalui tindakan ini, mereka akui bahawa terdapat keperluan dan permintaan tinggi terhadap khidmat mereka," kata Nancy kepada pemberita, hari ini.

Beliau berkata kepada media selepas Majlis Raikan Keceriaan Keluarga di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, di sini hari ini.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM