fb fb fb fb fb

Program Advokasi Antigangguan Seksual terima lebih 25,000 penyertaan

Datuk Seri Nancy Shukri bersama wakil-wakil media pada kempen Antigangguan Seksual bersama media di ibu negara.

KUALA LUMPUR, 13 Disember- Sebanyak 25,251 penyertaan direkodkan menerusi Program Jerayawara Kasih KPWKM @ Advokasi Antigangguan Seksual anjuran Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), sepanjang penganjurannya tahun lalu.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata data penyertaan itu dicapai menerusi 65 program advokasi yang dianjurkan selaras Akta Antigangguan Seksual 2022 (Akta 840) yang mula dikuatkuasakan secara berperingkat pada 28 Mac lalu.

Beliau berkata program AGS yang diadakan di seluruh negara bertujuan memberi pendedahan, menyampaikan maklumat berkenaan bantuan dan perkhidmatan psikososial KPWKM serta menyebarluaskan pemakaian garis panduan dan notis antigangguan seksual kepada masyarakat.

"Gangguan seksual adalah jenayah yang boleh memberi kesan buruk bukan sahaja kepada mangsa, malah keluarga dan persekitaran sekeliling.

"Ganggguan seksual juga boleh menjejaskan produktiviti di sesebuah organisasi dan akhirnya dalam jangka masa panjang akan mengakibatkan negara kehilangan bakat berpotensi,"katanya.

Beliau berkata pelaksanaan program Jerayawara Kasih KPWKM @ Advokasi Antigangguan Seksual itu juga selaras dengan Akta Kerja 1955 (Pindaan) 2022 berkuat kuasa pada 1 Januari lalu yang mewajibkan majikan mempamerkan notis mengenai gangguan seksual di tempat kerja.

Tegasnya, advokasi AGS KWPKM itu perlu dikongsi secara meluas kepada masyarakat sebagai langkah memperingatkan antara satu sama lain.

Datuk Seri Nancy berucap ketika merasmikan sesi familiarisasi bagi kempen Antigangguan Seksual bersama media di ibu negara.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE