fb fb fb fb fb

Profesor UUM lima tahun berturut diiktiraf dunia, bidang pemasaran dan e-dagang

SINTOK, 8 Oktober - Profesor Pemasaran dan E-Dagang Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Ts. Dr Norazah Mohd Suki sekali lagi diiktiraf unggul dalam bidang pemasaran dan e-dagang di peringkat dunia.

Namanya tersenarai dalam ‘World's Top 2% Scientists’ daripada pelbagai bidang bagi tahun 2023 yang diumumkan Stanford University, Amerika Syarikat pada minggu lalu.

Beliau terus kekal berjaya tersenarai buat kali kelima berturut-turut sejak tahun 2019 bagi kategori Pencapaian Satu Tahun (Single Year Achievement) dan tersenarai buat kali ketiga bagi Pencapaian Sepanjang Kerjaya (Career-Long Achievement) menerusi senarai ‘World's Top 2% Scientists’ dalam bidang perniagaan dan ekonomi.

Kedudukan Profesor Pemasaran dan E-Dagang di Othman Yeop Abdullah Graduate School of Business (OYAGSB) UUM itu meningkat lebih 3,000 anak tangga dalam ranking dunia berbanding tahun sebelumnya.

Naib Canselor UUM, Profesor Dr. Mohd. Foad Sakdan mengucapkan setinggi-tinggi tahniah di atas kejayaan membawa nama UUM ke pentas dunia serta menjadi sumber inspirasi kepada ahli akademik yang lain.

“Kedua-dua pengiktirafan tersebut secara tidak langsung meletakkan UUM pada peta global kecemerlangan penyelidikan saintifik yang membawa kebanggaan kepada universiti dan negara.

"Pengiktirafan yang dianggap paling berprestij di seluruh dunia itu merujuk kepada data yang dikeluarkan oleh Elsevier BV, Stanford University yang berpangkalan di Amerika Syarikat bermula pada 2019," katanya.

(Profesor Pemasaran dan E-Dagang Universiti Utara Malaysia (UUM),
Profesor Ts. Dr Norazah Mohd Suki)

Terkini, Dr Norazah telah menerbitkan lebih 400 kertas kerja dengan h-indek SCOPUS sebanyak 32, sitasi di SCOPUS database lebih 3,000 dan sitasi di Google Scholar lebih 9,000.

Beliau juga sebagai Felo Penyelidik Utama Institute of Sustainable, Growth and Urban Development (ISGUD) di UUM Kampus Kuala Lumpur dan Felo Penyelidik Utama Bersekutu satu universiti awam.

"Alhamdulillah, saya amat bersyukur atas pengiktirafan ini dan berhasrat untuk terus mengharumkan nama UUM di persada dunia.

"Kejayaan tersenarai dalam ‘World’s Top 2% Scientists’ ini memberi refleksi terhadap 'output' penyelidikan saya yang diterima pakai oleh penyelidik antarabangsa melalui bilangan sitasi yang diterima daripada penulisan dan penerbitan yang berkualiti dalam jurnal berimpak tinggi," katanya.

Sebelum ini, Dr Norazah telah dianugerahkan Profesor Terbaik dalam Pengajian Pemasaran pada ‘14th CMO Asia Award for Excellence in Education’ yang diadakan di Singapura.

Beliau juga merupakan profesor wanita kedua Malaysia pada kedudukan terbaik dengan keluaran penerbitan tinggi di dalam ‘ABDC Journal Quality List 2019 Ranking’.

Media Baharu