fb fb fb fb fb

Festival MOTAC D'Desa @ Selangor diharap rancakkan lagi sektor pelancongan, seni budaya setempat

(Festival MOTAC D'Desa at Selangor 2023 di Dataran Dewan Seri Nakhoda, Bagan Nakhoda Omar, Sabak Bernam, malam tadi)

SUNGAI BESAR, 8 Oktober- Kerajaan negeri Selangor bersedia untuk menjadi hab atau pangkalan kepada pusat pengiktirafan yang memberi peluang kepada penggiat seni tempatan menyerlahkan identiti dan keperibadian budaya tempatan.

Menurut Exco Perumahan dan Kebudayaan Selangor, Borhan Aman Shah, kerjasama antara kerajaan negeri dan persekutuan melalui kementerian serta agensi berkaitan perlu dilaksanakan secara berterusan dan sistematik bagi merealisasikan hasrat itu.

"Kita bersedia sebenarnya sebab bagi saya Selangor ini satu negeri yang mana pintu masuk bermula di Selangor jadi Selangor berlapang dada untuk menjadikan hab budaya ini supaya kita dapat memberi impak yang besar bukan sahaja untuk ekonomi negeri Selangor sendiri untuk negara juga jadi saya ingat dengan kerjasama semua pihak termasuk pihak kerajaan pusat ini akan kita dapat memastikan bahawa budaya dan seni warisan itu dapat diteruskan," katanya.


(Exco Perumahan dan Kebudayaan Selangor, Borhan Aman Shah)

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Festival MOTAC D'Desa at Selangor 2023 di Dataran Dewan Seri Nakhoda, Bagan Nakhoda Omar, Sabak Bernam, malam tadi.

Berlangsung selama tiga hari bermula 6 Oktober dan berakhir hari ini, festival itu merupakan anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya dengan kerjasama kerajaan negeri Selangor.

Antara pengisian menarik program yang menyasarkan kira-kira 6,000 pengunjung itu ialah pertandingan Karaoke D’Desa, persembahan kebudayaan, jualan kraftangan dan produk tempatan, peruncitan, sukaneka keluarga serta himpunan konvoi motor klasik.

Sementara itu, Setiausaha Bahagian Kanan (Pengurusan) Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Datuk Shaharudin Abu Sohot berkata menerusi festival itu, masyarakat setempat serta sekitar diharap dapat menikmati kemakmuran ekonomi menerusi penjanaan pendapatan jualan produk termasuk makanan, penginapan serta aktiviti yang berkaitan.

“Pemilihan Sabak Bernam sebagai satu daripada lokasi penyemarakan seni budaya di peringkat akar umbi adalah tepat.

“Daerah ini memiliki daya tarikan tersendiri untuk menarik pelancong datang berkunjung. Sabak Bernam dan daerah berhampiran seperti Kuala Selangor dan Hilir Perak merupakan destinasi pelancongan yang penting di Malaysia,” katanya

Media Baharu