KUALA LUMPUR, 28 Julai- Kandungan produk minuman kesihatan jenama "Si Hulk" akan dikaji kerana dikhuatiri mempunyai unsur-unsur yang tidak baik.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata pihaknya telah meminta kerjasama Pusat Sains Kemanusiaan, Universiti Malaysia Pahang (UMP) untuk membantu dalam kajian tersebut.
"Dalam masa yang sama juga, pagi tadi saya sempat bercakap dengan Profesor Madya Dr Mahyuddin daripada UMP, saya minta bantuan dia sebab kita sekarang ini ada isu berkaitan minuman tersebut. Wallahualam kemungkinan air itu telah mempengaruhi, jadi saya telah minta bantuan Mahyuddin untuk melihat perkara itu memandangkan beliau pernah menulis kajian mengenai sihir. Kajian tersebut akan dilihat kemudian," katanya setelah melancarkan Produk Baharu Simpan Selamat Al Saleem Ar-Rahnu Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) di ibu negara.
Beliau turut menyeru orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan kumpulan ajaran sesat tersebut agar tampil dan membuat laporan kepada pihak berkuasa supaya penularan ajaran ini dapat dibanteras segera.
Si Hulk atau singkatan kepada 'Society of Islamic Holisticism Universal Linkage Knowledge' pada mulanya dikatakan beroperasi sebagai perniagaan air minuman yang dicampur madu oleh pengasasnya dan dijual pada harga RM70 sekotak.
Malah, ia juga dipromosikan sebagai penawar COVID-19 pada 2021 sehingga Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengeluarkan kenyataan amaran terhadap produk berkenaan.
Minggu lalu, media melaporkan status terkini kilang air Si Hulk yang berada di Johor, Selangor dan Indonesia sudah ditutup selepas sijil halal mereka ditarik semula kerana tidak mematuhi piawaian ditetapkan pada 3 Jun 2021.
(Malah, ia juga dipromosikan sebagai penawar COVID-19 pada 2021 sehingga
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengeluarkan kenyataan amaran
terhadap produk berkenaan.)