fb fb fb fb fb

Produk halal ‘Satu Kampung Satu Produk’ akan diintegrasikan

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika melawat ke tempat penyembelihan dan pemprosesan daging semasa lawatannya ke Pusat Daging Sanda di sini

OSAKA, 22 Februari - Pengeluaran produk termasuk bahan ramuan untuk produk halal bawah program 'Satu Kampung Satu Produk', akan diintegrasikan dalam usaha menerokai lebih banyak peluang pasaran halal di luar negara, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau yang juga Pengerusi Majlis Pembangunan Halal Malaysia (MPIH) berkata, ia bagi memastikan pengeluaran produk halal di pasaran sentiasa konsisten sekali gus memenuhi permintaan yang semakin meningkat.

"Telah mula dilaksanakan tetapi saya mencadangkan agar diintegrasikan kerana satu kampung sahaja tidak mencukupi mungkin dicampurkan 50 hingga 100 kampung untuk mengeluarkan produk yang sama.

"Tidak semestinya menggunakan produk yang telah siap kerana kandungannya memudahkan pengguna. Permintaan juga meningkat dan kita harus mengambil peluang ini. Bukan sekadar serai sahaja permintaan itu meliputi daun durian belanda yang digunakan sebagai herba. Permintaanya bagi pasaran Eropah dan Amerika Syarikat tidak cukup," katanya kepada pemberita, di sini.

Setakat ini terdapat kira-kira 15,000 kampung bawah Kementerian Pembangunan Desa dan Wilayah.

Sementara itu, sektor halal di Jepun terus diperkasa menerusi dua Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani hari ini.

Perjanjian pertama antara Halal Development Corporation (HDC) dan AEON Co. (M) Berhad bertujuan mempromosi produk Halal Malaysia di Jepun. 

AEON (M) akan menyediakan panduan perniagaan kepada pemain industri halal Malaysia bagi menembusi pasaran Jepun, mempromosi Platform Bersepadu Halal HDC (HIP) dan menganjurkan sesi pembentangan untuk mempromosi produk halal.

HDC juga akan bekerjasama dalam menyediakan program latihan halal Jepun untuk pemain industri dalam usaha memudahcara kemasukan mereka ke dalam pasaran halal.

MoU kedua antara HDC dan Persatuan Halal Jepun (JHA) pula bertujuan meningkatkan infrastruktur dan pensijilan Halal di negara tersebut. 

Kerjasama itu akan memberi tumpuan kepada pembangunan modal insan dan perkongsian kepakaran untuk menyelaraskan proses pensijilan Halal bagi restoran di Jepun.

HDC diwakili  Ketua Pegawai Eksekutifnya, Hairol Ariffein Sahari, AEON Co. (M) Berhad Timbalan Pengarah Urusan, Tsugutoshi Seko manakala JHA oleh Presidennya Hind Hitomi Remon.

TETITIA YUSOFF