fb fb fb fb fb

Budayakan integriti di sektor awam dan swasta pacu pertumbuhan ekonomi

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Integriti Malaysia (IIM), Datuk Nor Yahati Awang

PUTRAJAYA, 22 Februari - Keterlibatan sektor awam dan swasta dalam membudayakan integriti dilihat satu usaha memacu pertumbuhan ekonomi yang lebih kukuh dan berkembang.

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Integriti Malaysia (IIM), Datuk Nor Yahati Awang menyifatkan integriti merupakan asas utama dalam membina sebuah negara hebat di persada dunia.

Jelasnya, IIM akan kekal komited memainkan peranan meningkatkan penghayatan budaya berintegriti dan memfokuskan pemantapan etika dalam kalangan anggota masyarakat.

"Kerajaan pada hari ini tekad dalam usaha untuk memulihkan imej Malaysia di peringkat antarabangsa dalam menjadi negara yang bermaruah dan antirasuah. Perkara ini telah dizahirkan dalam ucapan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada pembentangan usul kajian separuh penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

"Dalam suasana yang serba mencabar sikap integriti, disiplin kerja serta budaya kecemerlangan yang ditunjukkan adalah cukup luar biasa," Nor Yahati berucap dalam majlis penyampaian Anugerah Integriti, Governans dan Antirasuah (AIGA) 2023 Kategori Perak, Gangsa dan Sijil Penyertaan, di sini.

Beliau memaklumkan sejak Pelancaran Pelan Antirasuah Nasional (NACP) pada 29 Januari 2019 hingga akhir tahun lalu, lebih 200 agensi awam dan korporat telah dibantu dalam memperkukuh ekosistem integriti, governans dan antirasuah.

AIGA merupakan majlis anugerah bagi memberi pengiktirafan dan penghargaan atas usaha agensi dalam menambahbaik lanskap dan ekosistem Integriti dalam organisasi masing-masing.

Menerusi majlis itu, 33 agensi menerima anugerah Perak, 48 agensi menerima anugerah gangsa dan 23 penerima sijil penyertaan.

TETITIA YUSOFF