fb fb fb fb fb

JPSM bantu selaras di peringkat persekutuan

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar

KAJANG, 22 Februari - Jabatan Pendakwaan Syarie Malaysia (JPSM) bakal ditubuhkan untuk membantu menyelaraskan jabatan pendakwaan syarie yang berada di setiap negeri di peringkat persekutuan.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, bagaimana pun cadangan penubuhan jabatan itu nanti perlu dibawa ke Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Islam (MKI) serta Majlis Raja-Raja Melayu untuk mendapat perkenan dan persetujuan terlebih dahulu.

"Hasrat penubuhan Jabatan Pendakwaan Syarie ialah untuk menyelaraskan jabatan-jabatan pendakwaan syarie yang ada di negari-negeri, setakat ini kita ada Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia yang menyelaraskan amalan pentadbiran di mahkamah-mahkamah syariah di seluruh negara.

"Kitakan dalam konteks jenayah kita jabatan pendakwaan syarie, kita ada Ketua Pendakwa Syarie ataupun Pengarah Jabatan Pendakwaan Syarie di negeri-negeri, cuma yang belum ada adalah satu jabatan di peringkat persekutuan yang boleh menyelaras pelaksanaan pendakwaan syarie di negeri-negeri," katanya selepas merasmikan Pusat Audiometrik Bergerak yang disumbangkan oleh Tabung Haji (TH) kepada Yayasan Pelangi Malaysia (YAPEL) di Kompleks Rumah Pengasih Warga Prihatin, Kajang, Selangor 

Menurut Datuk Naim, penubuhan jabatan ini perlu mendapat perkenan MKI dan Majlis Raja-Raja kerana kuasa pendakwaan syarie berada dibawah bidang kuasa negeri dan kuasa persekutuan adalah untuk menyelaras pentadbiran.

Menerusi kerjasama tersebut, TH juga menyumbang sebanyak RM1 juta kepada YAPEL bagi membantu para asnaf yang mempunyai masalah pendengaran.

Siri jelajah Pusat Audiometrik Bergerak ini telah bermula sejak tahun lepas dengan sasaran sebanyak 500 saringan percuma sebulan atau 6,000 saringan setahun.

Program bersepadu ini merangkumi tiga aspek utama iaitu penyediaan Pusat Audiometrik Bergerak, program saringan dan pemberian alat bantuan pendengaran kepada asnaf.

TH menyerahkan sebuah kenderaan sebagai Pusat Audiometrik Bergerak, lengkap dengan dua unit bilik kedap bunyi, peranti saringan pendengaran seperti audiometer, alat bantu pendengaran serta khidmat kaunseling untuk membantu para asnaf yang memerlukannya.

TETITIA YUSOFF