KUALA LUMPUR, 22 Februari- Kementerian Kesihatan (KKM) menyarankan ibu bapa yang merancang untuk membawa anak mereka menjalani prosedur berkhatan pada musim cuti sekolah ini cakna dan memastikan fasiliti tersebut berdaftar dengan kementerian berkenaan.
Perkara itu bagi mengelakkan komplikasi selepas berkhatan.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dalam satu kenyataan berkata, terdapat peningkatan bilangan kes rujukan ke hospital-hospital KKM disebabkan komplikasi itu.
"Komplikasi-komplikasi ini terdiri daripada komplikasi minor (seperti pendarahan dan jangkitan kuman) dan komplikasi major (seperti kecederaan pada glans penis, keradangan melampau dan pemotongan kulit yang berlebihan) yang memerlukan
pembedahan semula (corrective atau repair surgery).
"Komplikasi-komplikasi ini, sama ada major mahu pun minor sudah tentu akan mengakibatkan kegusaran dan kebimbangan di kalangan ibu bapa dan kanak-kanak," kata kenyataan itu.
Bagaimanapun Ibu bapa digesa untuk membawa anak ke fasiliti kesihatan berdekatan dengan segera sekiranya berlaku komplikasi selepas berkhatan.
KKM turut berharap agar ibu bapa dan pengamal perubatan dapat mengambil langkah- langkah sewajarnya demi memastikan keselamatan anak-anak yang menjalani prosedur berkhatan.