ANKARA, 8 Julai- Malaysia akan membeli gandum dan produk-produk berkaitan gandum dari Turkiye.
Pada masa sama, meneroka peluang pelaburan berbalik berkaitan produk makanan di republik itu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengesahkan beberapa syarikat Malaysia telah dikenal pasti untuk membeli gandum dan membuka ladang gandum di Turkiye, antaranya Boustead Holdings.
"Dalam masa sama saya juga cadangkan supaya diberikan kebenaran dan peluang kepada syarikat Malaysia untuk membuat reverse investment di Turkiye iaitu melabur di dalam sektor pertanian khususnya gandum dan kita boleh bawa pulang gandum ke negara kita," katanya.
Ismail Sabri menyatakan demikian pada sidang media bersama wartawan Malaysia pada akhir lawatan rasmi empat hari beliau ke Turkiye atas jemputan Presiden Recep Tayyip Erdogan.
(Ismail Sabri)
Selasa lalu, Boustead memeterai memorandum persefahaman (MOU) dengan OYAK di Istanbul.
OYAK merupakan dana persaraan pertama dan terbesar Turkiye yang terlibat dalam sektor-sektor utama termasuk perlombongan dan metalurgi, simen konkrit, kertas, automotif, logistik, kewangan, bahan kimia, makanan dan pertanian.
Dalam pertemuan dengan Presiden Erdogan semalam, antara perkara utama yang dibincangkan adalah sekuriti makanan.
Malaysia dan Turkiye bersetuju meningkatkan kerjasama bagi memastikan rantaian bekalan makanan sentiasa mencukupi dan stabil di kedua-dua negara.
Pengeluaran gandum tahunan Turkiye mencecah hampir 20 juta tan dan republik itu adalah pengeksport bersih komoditi berkenaan.
Satu pertiga daripada pengeluaran gandum dunia adalah dari Ukraine dan Rusia, namun, konflik perang antara kedua-duanya telah memberi tekanan hebat terhadap bekalan makanan itu.
Pada masa sama, India telah mengurangkan eksport gandumnya.
Pada 2020, Malaysia mengimport gandum bernilai RM1.46 bilion dan menjadi pengimport ke-38 terbesar dunia.