Datuk Seri Anwar mohon rakyat beri mandat kukuh kepada PH di Negeri Sembilan

Para penyokong berkumpul di luar Dewan Serbaguna Majlis Bandaraya Seremban ketika penamaan calon bagi DUN Labu, Bukit Kepayang, Rahang, Mambau dan Seremban Jaya, pagi tadi./ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 18 Julai – Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim memohon pertimbangan dan kepercayaan rakyat Negeri Sembilan untuk memberikan mandat yang lebih kukuh kepada gabungan itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) bagi memastikan kesinambungan pentadbiran yang bersih, stabil dan berintegriti di bawah pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perlu meneruskan agenda pembangunan dan kebajikan sejak 2018 supaya kesejahteraan dapat dinikmati seluruh rakyat Negeri Sembilan.
  • Perdana Menteri mendoakan semua calon PH dikurniakan kekuatan, dipermudah urusan dan diberi kejayaan terbaik.
  • SPR mengesahkan 103 calon bertanding, PH bertanding semua 36 kerusi, pengundian ditetapkan pada 1 Ogos.

Perdana Menteri menerusi hantaran di Facebook hari ini berkata, sejak 2018 pelbagai ikhtiar telah digerakkan oleh kerajaan negeri, namun masih banyak agenda pembangunan dan kebajikan yang perlu diteruskan agar kesejahteraan dapat dinikmati oleh seluruh rakyat Negeri Sembilan.

“Dengan penuh rendah diri, saya memohon pertimbangan dan kepercayaan rakyat Negeri Sembilan untuk memberikan mandat yang lebih kukuh kepada HARAPAN demi kesinambungan pentadbiran yang bersih, stabil dan berintegriti di bawah pimpinan saudara Aminuddin Harun,” katanya.

Datuk Seri Anwar turut mendoakan agar semua calon PH dikurniakan kekuatan, dipermudah segala urusan serta diberikan kejayaan pada pilihan raya tersebut.

“Semoga semua calon PH dikurniakan kekuatan, dipermudah segala urusan dan diberikan kejayaan yang terbaik. Kepada Allah SWT kita berserah,” katanya.

Beliau turut mengingatkan kepentingan saling membantu dalam melakukan kebajikan dan ketakwaan sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah al-Ma’idah ayat 2.

Dalam perkembangan sama, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan seramai 103 calon disahkan bertanding pada PRN Negeri Sembilan ke-16 bagi merebut 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) selepas proses penamaan calon selesai hari ini.

PH menjadi parti yang bertanding di semua 36 kerusi DUN, termasuk menampilkan Datuk Seri Aminuddin Harun di DUN Linggi. Barisan Nasional (BN) pula mempertaruhkan 25 calon, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) 24 calon dan Perikatan Nasional (PN) 11 calon.

Turut bertanding ialah Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA), Parti Orang Asli Malaysia (ASLI) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang masing-masing meletakkan seorang calon, selain empat calon Bebas.

PRN Negeri Sembilan diadakan susulan pembubaran DUN pada 5 Jun lalu, dengan hari pengundian ditetapkan pada 1 Ogos manakala pengundian awal berlangsung pada 28 Julai.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.