PUTRAJAYA, 23 Oktober - Anak jati Kemaman, Terengganu menjadi keutamaan UMNO sebagai calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman pada 2 Disember ini, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu berkata UMNO akan menyenarai pendek beberapa nama calon dalam masa terdekat.
"Parti telah memperolehi beberapa nama, yang pasti kami akan ambil tokoh anak Kemaman yang berada di peringkat nasional atau di peringkat negeri untuk bertanding bagi PRK Kemaman," katanya selepas majlis penutup Kejohanan Sukan, Majlis Kebajikan Dan Sukan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) MAKSPEN 2023 di sini.
PRK Parlimen Kemaman diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 September lalu yang membatalkan kemenangan calon PAS, Che Alias Hamid pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK Parlimen Kemaman, Terengganu pada 2 Dis ini manakala penamaan calon dan pengundian awal masing-masing ditetapkan pada 18 Nov dan 28 November.