fb fb fb fb fb

Amaran

PenggunaJ: :_load: Tidak dapat memuatkan pengguna dengan ID: 381

PRK DUN Jepak 4 November ini

PUTRAJAYA, 25 September - Hari pengundian bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak, Sarawak ditetapkan pada 4 November ini.

Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Dr Azmi Sharom turut memaklumkan, tarikh penamaan calon pula pada 21 Oktober manakala 31 Oktober ditetapkan sebagai undi awal.

"Perjalanan PRK DUN Jepak memerlukan peruntukan sebanyak RM2.0 juta," katanya menerusi sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas PRK Jepak, di sini pada Isnin.

Menurutnya, dengan penetapan tarikh tersebut tempoh berkempen berlangsung selama 14 hari bermula tarikh pengisytiharan calon sehingga 11.59 malam 3 November.

"Sejumlah 22,804 pemilih berdaftar yang dikemaskini sehingga 15 September akan digunakan pada PRK ini.

"Ia terdiri daripada 22,761 pengundi biasa, 43 anggota polis dan tiga pengundi tidak hadir luar negara," jelas beliau.

Azmi berkata, permohonan kategori undi pos luar dan dalam negara dibuka bermula hari ini (25 September).

1A merupakan petugas pilihan raya, ahli dan pegawai SPR, anggota polis, tentera dan petugas media. Tarikh tutup bagi pengundi kategori 1A adalah 18 Oktober (Rabu).

Manakala rakyat Malaysia yang berada di luar negara berada di bawah kategori 1B tarikh tutup permohonan 4 Oktober (Rabu).

Bagi agensi dan organisasi adalah di bawah kategori 1C pula tarikh tutup permohonan adalah 9 Oktober (Isnin).

Beliau berkata, SPR telah melantik seorang pegawai pengurus pilihan raya dan dibantu oleh tiga penolong.

"Bagi tujuan memantau aktiviti kempen pilihan raya sepanjang tempoh rasmi berkempen, SPR akan menubuhkan dua Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) yang turut dianggotai oleh wakil-wakil daripada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan wakil-wakil calon yang bertanding," katanya.

Ujar Azmi, Balai Raya Kampung Jepak akan digunakan sebagai pusat penamaan calon (PPC) dan penjumlahan rasmi undi (PPRU).

"Seramai 446 orang petugas akan dilantik bagi mengendalikan proses PRK DUN Jepak," tambahnya.

Beliau berkata, sebanyak 15 pusat mengundi dengan 46 saluran dibuka pada PRK tersebut.

PRK DUN Jepak diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Talib Zulpilip akibat komplikasi buah pinggang pada 15 September lepas.

Allahyarham ialah penyandang kerusi DUN Jepak di bawah Parlimen Bintulu selama enam penggal sejak 1996.

Pada 2009, beliau dilantik sebagai Menteri Muda Pelancongan dan Warisan Sarawak dan pernah menyandang jawatan Menteri di Jabatan Ketua Menteri (Integriti dan Ombudsman) Sarawak.