KUALA LUMPUR, 1 Januari- Prinsip "Striving for Excellence" dilihat sebagai asas penting untuk membentuk sebuah masyarakat bersatu padu.
Pengarah Program MBA Putra Business School (PBS) Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berpendapat prinsip itu mampu menyatukan masyarakat dalam membentuk ekonomi yang kukuh.
"Setiap individu dapat memfokuskan tenaga dan minda untuk menjadi yang terbaik. Seluruh masyarakat akan mempunyai objektif yang sama.
"Ini akan mengukuhkan perpaduan dalam negara itu sendiri sekali gus membolehkan apa sahaja segala polisi atau dasar. Jadi lebih mudah untuk dicapai," katanya ketika dihubungi RTM.
Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Dr Mustazar Mansur berkata kerjasama antara kerajaan, sektor swasta dan rakyat juga dilihat penting untuk meningkatkan perpaduan negara.
"Kita semua kena bekerjasama untuk berjuang ke arah kecemerlangan. Sekiranya ada kerjasama antara semua pihak, maka ia memberi gambaran bahawa rakyat hidup dalam keadaan sejahtera.
"Perkara itu turut disokong usaha berterusan kerajaan dalam memastikan kesejahteraan rakyat," katanya.
Semalam menerusi Amanat Tahun Baharu 2025 Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyarankan rakyat Malaysia harus bersama menjunjung prinsip "Striving for Excellence".