fb fb fb fb fb

402,956 calon SPM untuk ujian bertulis

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 1 Januari- Seramai 402,956 calon mendaftar untuk menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 bermula esok hingga 6 Februari depan membabitkan peperiksaan bertulis.

Menurut data dikeluarkan Kementerian Pendidikan (KPM) jumlah itu melibatkan 3,337 pusat peperiksaan di seluruh negara

Sementara itu seramai 126,636 petugas peperiksaan dilantik bagi memastikan kelancaran pengurusan dan pengendalian peperiksaan

KPM juga sentiasa bersiap siaga dengan mekanisme dan langkah persediaan sewajarnya berikutan situasi banjir yang melanda negara ketika ini termasuk bekerjasama dengan agensi kerajaan lain berkaitan.

Sebelum ini KPM telah pun mengaktifkan prosedur operasi standard (SOP) Ops Payung bagi menghadapi Ujian Amali Sains SPM pada 9 Disember lalu.

Usaha itu penting bagi memastikan ujian berkenaan berjalan lancar dan tiada calon terjejas.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata Ops Payung berjalan lancar dan teratur melibatkan negeri terjejas banjir.

Beliau turut menegaskan tiada keperluan mengadakan sesi kedua peperiksaan SPM 2024.

Ini kerana operasi itu menggunakan kekuatan jentera agensi kerajaan sepenuhnya untuk melaksanakan semua garis panduan prosedur operasi standard (SOP) banjir.

Calon dinasihatkan untuk memaklumkan kepada pihak sekolah atau Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) di seluruh negara sekiranya tidak dapat hadir peperiksaan disebabkan bencana.

Pada masa sama semua calon diingatkan untuk merujuk jadual peperiksaan bagi mendapatkan maklumat mengenai tarikh, masa, kod dan kertas peperiksaan serta arahan sepanjang peperiksaan berlangsung.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI