KUALA LUMPUR, 1 Januari- Cuti umum sempena dengan tahun baharu hari ini memberi peluang kepada orang ramai untuk melakukan pelbagai aktiviti.
Tinjauan mendapati antara lokasi yang menjadi tumpuan di ibu kota adalah Muzium Negara dan Zoo Negara.
"Kalau untuk aktiviti tahun baharu ini, lebih kepada beriadah. Kita juga tak lupa lokasi seperti Muzium Negara dan Zoo Negara. Muzium Negara ini jarang sekali kita berpeluang untuk pergi. Jadi, kita ambil kesempatan cuti ini untuk dimanfaatkan bersama keluarga, melihat dan menghayati sejarah tanah air," kata pengunjung, Nur Farahin Abd Rahim.
"Pagi ini, selepas bangun dan bersarapan, bawa anak-anak ke taman. Kemudian, teruskan lawatan ke Muzium Negara untuk melihat sejarah Malaysia. Ambil peluang ini untuk menerangkan kepada mereka (anak-anak) bagaimana Malaysia terbentuk, supaya mereka lebih memahami dan menghargai sejarah negara," kata pengunjung, Teng Sze Yuen.
"Saya cuti hari ini datang ke sini sebab bermanfaat untuk anak-anak saya, sempena cuti sekolah ini. Walaupun cuti sekolah baru sahaja habis. Memang menyeronokkan," kata pengunjung, Ahmad Farid Jantan.
"Beginilah, bila hari cuti macam ini, sebab sepanjang minggu mereka (ahli keluarga) sibuk bekerja. Jadi, hari cuti inilah peluang untuk berehat, pergi tempat-tempat menarik seperti muzium, makan-makan, dan sebagainya," kata pengunjung, Fauziah Saidin.